Sidang Dun: PAS Terengganu menjunjung kasih

PAS Terenggganu menjunjung kasih dan mengucapkan ‘jazakumullah’ ke bawah Duli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-13.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, persidangan yang bermula semalam itu mungkin merupakan sidang yang terakhir sebelum Pilihan raya Umum kali ke-14.

Katanya, dalam tempoh dua hari perbahasan, hari ini dan esok Adun daripada PAS, insya Allah akan cuba membahas titah ucapan tuanku sultan sebelum penggulungan di hari terakhir.

“Secara keseluruhan (titah tuanku itu) kita melihat perkembangan ekonomi pembangunan dan persekitaran negeri Terengganu amat lembab dengan alasan kerana kelembapan ekonomi dunia dengan alasan kejatuhan harga minyak dunia,” ujarnya yang juga Adun Paka ketika ditemui selepas istiadat tersebut di lobi Dun, semalam.
 
Apapun, kata beliau, PAS berharap negeri Terengganu dapat memanfaat sumber yang tersendiri yang tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain termasuk royalti minyak dan gas.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri terus menuntut hak yang merupakan milik negeri itu.

“Kita mendesak kerajaan pusat supaya meningkatkan kadarnya daripada lima peratus kepada 20 peratus, mengikut syariat Islam ‘humus’ yang dianggap sebagai satu perlima daripada harta.

“Dan juga isu telaga minyak Bertam masih lagi tidak diberi penumpuan supaya kerajaan memberi penjelasan yang sejelasnya, sebab ia adalah sumber penting kepada kerajaan Terengganu dan suasana ekonomi yang ada,” tegasnya dipetik Buletin Online.

Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat menggembleng sumber-sumber lain yang terlalu banyak.

“Terengganu mempunyai banyak sumber lain seperti pertanian, pelancongan, pantai dan sebagainya, yang perlu digemblengkan untuk mencapai kejayaan, bukan hanya dalam pembangunan fizikal tetapi juga khususnya melibatkan pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” jelasnya.

Namun begitu, katanya, ada perkara yang mungkin kerajaan negeri terlepas pandang terutamanya dari sudut pembangunan ‘spiritual’.

“Pembangunan insan yang mungkin agak terabai, jadi kita melihat pada hari ini suasana bagaimana permasalahan sosial makin hari makin parah. Masalah penzinaan, masalah minuman keras, masalah penggunaan dadah dan sebagainya,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya kerajaan negeri perlu mengambil cakna dalam menyelesaikan perkara tersebut bukan hanya jangka pendek, bahkan perlu tindakan jangka panjang.