Baru Bian tiru bani Israel cara tafsir perlembagaan

PENGERUSI PKR Sarawak, Baru Bian menegaskan bahawa mereka tetap akan menentang RUU355 walaupun sekiranya Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada akta ini.

Advertisement

Dia tak faham ke, RUU355 ini hanya beri keharusan kepada negeri untuk pertingkatkan jumlah hukuman, bukan mewajibkan negeri ikut semua hukuman maksima. Tak timbul pun soal berkecuali atau tidak. Kalau Sabah Sarawak tak mahu, mereka boleh kekalkan enakmen sedia walaupun RUU355 diluluskan. Bukan setakat Sarawak, kalau Pulau Pinang sendiri tak mahu pinda enakmen mereka, tak jadi masalah dari sudut undang-undang!

Antara perkara menarik yang dinyatakan beliau, penentangan dibuat kerana berpegang kepada perkara 8 Perlembagaan Persekutan yang menyebut:

1.Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

2.Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang

Beliau menyatakan RUU355 adalah satu bentuk diskriminasi dan pelanggaran hak kesamarataan di sisi undang-undang. Justeru ia bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.

Bagaimana beliau sampai boleh tafsir sedemikian? Tidakkah beliau baca klausa yang jelas menyebut “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini”? Klausa ini telah menafikan semua asas penentangan beliau.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan ini. Justeru segala urusan undang-undang yang melibatkan Islam adalah dalam terma “yang dibenarkan dengan nyata oleh undang-undang”. Maka ia menjadi hak orang Islam yang mesti dihormati semua rakyat Malaysia, selagi tidak bercanggah dengan undang-undang lain.

Senarai kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa agama merupakan bidang kuasa negeri-negeri. Walau bagaimanapun dalam menjalankan prosedur kehakiman syariah, mereka perlukan punca kuasa dari Perlembagaan. Maka akta 355 adalah antara punca kuasa mahkamah syariah negeri-negeri. Lalu apa benda yang bercanggah dengan perlembagaan?

RUU355 juga dibawa mengikut prosedur undang-undang yang sepatutnya. Mahkamah telah memutuskan sebagaimana yang dinyatakan oleh peguam yang mewakili Presiden PAS, Datuk Takiyudin Hasan dalam isu saman RUU355 oleh 4 individu sebelum ini, bahawa usul persendirian RUU355 tidak bercanggah dengan undang-undang. Saman tersebut telah ditolak oleh mahkamah dan RUU355 dibenarkan untuk dibawa ke parlimen.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan masih banyak cacat-celanya sebagaimana adat semua makhluk, tapi sangat tidak disangka, ada juga yang berhelah dalam menafsirkan perlembagaan. Di ambil sebahagian dan dibuang sebahagian. Sama macam perangai Bani Israel dalam menafsirkan al-Quran. – HARAKAHDAILY 29/3/2017