Tokoh ulamak antarabangsa sokong pindaan Akta 355

hamam2

LEBIH seminggu yang lalu, saya dan YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan YB Dato’ Dr Khairudin Aman Razali at Takiri telah mengunjungi 2 orang tokoh ulamak terkenal di dunia Islam iaitu Asy Syeikh Dr. Hammam Said sebagai mantan Muraaqibul Aam Ikhwanul Muslimin Jordan dan juga Asy Syeikh Dr. Solah Khaalidi seorang mufassir tersohor di kediaman mereka Amman Jordan.

Advertisement

Kunjungan kami adalah untuk berbincang dan mendapatkan nasihat serta pandangan mereka mengenai perkembangan Islam di peringkat antarabangsa termasuklah perkembangan Islam dan syariatnya di Malaysia.

Ilmu dan pengetahuan mereka mengenai perkembangan Islam mutaakhir ini tidak usah dipersoalkan lagi. Lebih menarik, mereka juga mengikuti perkembangan Islam di Malaysia dari dekat terutama melalui media on-line dan anak-anak murid mereka dari kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Antara topik paling menarik ialah penegasan sikap mereka berdua dalam memperjuangkan syariat Islam dan mengeluarkan sokongan terbuka kepada PAS yang berusaha mengangkat pelaksanaan Syariat Islam di Parlimen melalui Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud Meminda Akta 355.

Kedua-dua tokoh ulamak tersebut sangat tertarik dengan keunikan proses yang berlaku, apabila usaha PAS ini tidaklah menggunakan kekerasan, pemaksaan, revolusi, subversif dan seumpamanya tetapi menggunakan “pintu depan” dengan membawanya ke parlimen dan berusaha mencari simple majority dari kalangan ahli parlimen. Ianya sangat demokratik dan tidak mencetus ketegangan.

Justeru itu, mereka bukan sahaja menyokong malah telah menyeru supaya ahli-ahli parlimen Malaysia, khasnya yang beragama Islam supaya menyokong usaha murni untuk memperkasakan pelaksanaan syariat Islam dalam sistem perundangan di Malaysia.

Transkrip ucapan Asy Syeikh Dr. Hammam Said telah dimuat naik ke Harakah Daily untuk tatapan awam. Rujuk:

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/77-berita/ruu355/838-transkripsi-ucapan-sokongan-meminda-akta-355http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/77-berita/ruu355/838-transkripsi-ucapan-sokongan-meminda-akta-355

Saya harap, biarpun tekanan terlalu hebat  dengan pelbagai fitnah dan spekulasi untuk Pindaan Akta 355 ini diluluskan di parlimen, ia akhirnya berjaya diluluskan insyaallah. Doakanlah semoga Allah swt permudahkan urusan, mengurniakan kekuatan kepada para pejuang dan memberi hidayah kepada semua ahli parlimen untuk memberi undi sokongan kepada Pindaan Akta 355.

Nyata PAS tidak berseorangan melainkan pelbagai pihak telah bersatu dan menyokong usaha murni ini termasuklah 2 tokoh ulamak kontemporarI di peringkat antarabangsa.

Kesempatan ini, saya turut menyeru para alim ulamak di Malaysia turut bersatu tenaga dan berpadu suara menasihati dan menggesa para ahli parlimen agar mereka menyokong Pindaan Akta 355 ini di parlimen kelak.

Perkasakan Syariat Rakyat Sejahtera

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Mac 2017  |  01 Rejab 1438 – HARAKAHDAILY 29/3/2017