Bekas Umno tidak minat parti serpihan

BEKAS pimpinan Cawangan Umno Bukit Tanah, Shukri Saman 48 lebih yakin perjuangan PAS berbanding PKR atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Advertisement

Katanya beliau tidak memilih wadah politik lain terutamanya serpihan Umno atau serpihan PAS.

“Hasrat saya untuk menyertai PAS sebenarnya sudah lama. Pilihan saya ternyata tepat jika dibanding dengan parti-parti yang ada di negara sekarang.

“Tidak kiralah PPBM atau PKR, mereka itu semua adalah parti baru dan saya tidak yakin terhadap hala tuju serta dasar perjuangan parti itu,” katanya selepas program ceramah di rumahnya di Padang Kala, Melor malam tadi.

Sebelum itu beliau menyerah sebanyak 21 borang menyertai PAS kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Ketereh, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh dan Adun Melor, Dr Yusnan Yusof. Ramai penduduk tempatan hadir pada ceramah terbabit.

Shukri merupakan ahli jawatankuasa Umno Cawangan Bukit Tanah di Dun Melor sejak 27 tahun lalu. Beliau juga pernah menjadi perwakilan pada mesyuarat Umno Ketereh. – HARAKAHDAILY 30/3/2017