Mana projek tebatan banjir dijanji bina 2015?

AHLI Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan rasa kesal dengan jawapan yang diberikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung isu tebatan banjir Sungai Golok yang sekian lama dibangkitkannya.

Advertisement

Ketika mengajukan soalan tambahan di dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Zailah mempersoalkan mengapa projek tebatan banjir yang dijanjikan dibina pada tahun 2015 sehingga hari ini masih tidak nampak hasilnya.

“Pada tahun 2013 menteri jawab tebatan banjir akan dibina pada tahun 2015 dan dijangka siap pada tahun 2019. Sekarang menteri jawab lagi tender akan dibuka pada Julai 2017.

“Semasa Timbalan Perdana Menteri datang ke Rantau Panjang waktu banjir telah berjanji meluluskan RM800 juta untuk tebatan banjir,” katanya.

Katanya, apa yang dimaklumkan oleh menteri hari ini jelas memperlihatkan karenah birokrasi yang sangat teruk menyebabkan projek ini terus tertangguh.

Sebelum itu, menjawab soalan tambahan Zailah, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata, status projek Pembangunan Lembaga Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 masih di dalam proses pengambilan tanah dan tender dijangka pada Julai 2017.

Tambahnya, penaiktarafan sistem saliran dan pembinaan strtuktur pintu kawalan anak-anak sungai yang terlibat di dalam projek PLSB Sungai Golok ialah Sg Mentua, Sg Alor Mengkuang, Sg Lemal Lancang, Sg Jedok, Sg Meranti dan Sg Pengkalan Nangka. – HARAKAHDAILY 30/3/2017