RUU 355: Kita tahu suara hati orang Umno di kampung

“KITA tahu suara hati orang Umno di kampung-kampung bersama kita dalam isu RUU 355,” kata Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim.

Advertisement

Menurutnya, beliau mendapat maklumat menyatakan beberapa orang kuat Umno Jabi hadir H355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu.

“Lantaran itu janganlah dijadikan alasan keputusan PM dan rakan-rakan komponen BN berkaitan pindaan RUU 355 untuk kita menjauhi dan memandang serong dengan orang Umno di sekeliling kita.

“Mereka adalah mad’u yang perlu terus didekati,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yakin atas dasar aqidah dan keimanan, mereka juga rasa tak selesa bila akhirnya PM merangkap Presiden Umno terpaksa tunduk dengan desakan komponen bukan Islam dalam BN.

Pengarah MTD Dun Jabi itu berpandangan, tidak sepatutnya mereka terus merelakan diri berada dalam zon tak selesa yang bertentangan dengan naluri keyakinan mereka sedangkan di muka bumi Malaysia ini ada wadah yang lebih selesa untuk memperjuangkan Islam.

Tambahnya, apa yang berlaku ini mendedahkan wajah sebenar Umno BN.

“Tetapi dalam masa yang sama inilah ruang untuk kita menyedarkan masyarakat bahawa parti yang benar-benar serius dengan agenda Islam ialah PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/3/2017