RUU 355: Kerajaan boleh beri bila-bila masa

PAS telah mendapat kebenaran pihak kerajaan bagi membawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ke persidangan Parlimen kali ini.

Advertisement

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masa itu akan ditentukan oleh pihak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengikut ‘standing order’ Parlimen.

“Kita mendapat persetujuan untuk bawa pada sidang Parlimen kali ini dan akan dibahas, insya Allah. Itu Speaker (Dewan Rakyat) yang tentukan masa mengikut ‘standing order’ Parlimen selepas urusan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan boleh beri masa bila-bila masa sahaja,” ujarnya kepada wakil media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Ketika ditanya, apakah kesan kepada PAS setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) enggan membawa RUU 355 itu ke Parlimen, beliau menegaskan tiada kesan kepada partinya.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata sebenarnya pihak kerajaan sendiri bersetuju agar PAS yang membawa ‘private bill’ itu ke Parlimen.

“Tak ada kesan, sebenarnya pihak kerajaan setuju kita bawa ‘private bill’ itu. Ini (RUU 355) kaitan tentang hak orang Islam, kewajiban bersama bagi orang Islam dan tak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk campur tangan,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Sehubungan itu, beliau menyeru khususnya kepada semua ahli parlimen Islam agar menyokong pindaan RUU Akta 355 tersebut sementara ahli parlimen bukan Islam pula dinasihatkan agar menghormati Perlembagaan.

“Saya seru ahli parlimen Islam khususnya menyokong. Ada pun yang bukan Islam supaya mereka menghormati Perlembagaan. Perlembagaan mengatakan ini hak berkait dengan orang Islam sahaja,” tegasnya.

Beliau turut menafikan PAS ditipu sekali lagi oleh Umno BN dalam isu RUU Akta 355 dan bersedia menghadapi sebarang halangan kerana itu urusan agama.

“Ini (RUu 355) kewajiban bersama orang Islam, macam masjid kerajaan benar untuk kita sembahyang Jumaat di masjid. Itu bukan kerja tipu, kerja agama. Ini urusan agama, bukan kerja menipu.

“Kita akan hadapi halangan-halangan itu dan kita kenal siapa yang menghalangnya, insya Allah,” tegasnya.