Tanggungjawab PAS bentang RUU 355

TUGAS untuk membentang Pindaan Rang Undang-Undang 355 di parlimen adalah kerja PAS, bukan kerja Umno.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PAS akan melaksanakan bagi mempastikan Islam itu tertegak di muka bumi Malaysia.

“Oleh kerana itu tugasan yang kita perjuangkan ini insya Allah kita akan bawa minggu depan dalam sidang parlimen,” katanya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ‘Street Dakwah’ anjuran Ameerah Kuala Nerus, semalam.

“Sekarang ini kita kena faham PAS adalah parti yang sedang membina imej yang sangat cantik di mata masyarakat orang Islam terutamanya apabila kita bawa Rang Undang-undang 355 ke parlimen.

“Ia menggambarkan betapa kerja memperkasakan Islam ini memang kerja yang diterajui oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS),” tambahnya yang juga AJK PAS Pusat.

Sehubungan itu,  beliau berkata, dakwah merupakan kerja yang wajib dibuat dan menjadi sebahagian sifat orang-orang yang beriman.

Bahkan jelasnya, patut ada sekelompok manusia yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Yang paling penting kena ada adab-adab bertemu dengan rakyat.

“Kita mulakan dengan bagi salam, jumpa sesiapapun sebelum bagi risalah, dan bertanya khabar dengan mereka kerana kita bawa bukan hanya mesej dengan risalah tapi kita bawa mesej penampilan kita bertemu dengan rakyat,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ameerah Kuala Nerus yang sangat aktif menjalankan pelbagai program.

“Program ‘Street Dakwah’ pada hari ini adalah untuk menggerakkan kerja-kerja dakwah jadi elok sangatlah kita buat di sini.

“Kita tidak mahu di lihat sebagai satu kelompok yang terasing dari masyarakat tapi kita adalah sebahagian daripada masyarakat yang hidup dengan nadi rakyat,” kata beliau.