40,000 jadi pelarian akibat perang di Hama

RIBUAN pelarian dipindahkan selepas pertempuran dahsyat antara puak pemberontak dan tentera kerajaan meletus sepanjang minggu lalu.

Advertisement

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, hampir 40,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terjejas dan menjadi pelarian sejak minggu lalu.

Menurut Pegawai Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, kebanyakan pelarian melarikan diri ke selatan dan barat bandar Hama sejak serangan pemberontak bermula.

Selain itu, daerah Homs, Latakia dan Tartous, turut dijadikan sasaran mereka melarikan diri.

Pemberontak yang diketuai Tahrir al-Sham ditubuhkan oleh sekumpulan yang pernah berjuang sebagai sekutu al-Qaeda di Syria dan melancarkan serangan pada 21 Mac.

Serangan tersebut adalah bertujuan untuk merampas kawasan yang telah diambil semula tentera kerajaan pada 2016.

Sekurang-kurangnya 10 kumpulan pemberontak terlibat dalam pertempuran sengit di utara Hama.

Selasa lalu, kumpulan pemberontak Ahrar al-Sham, yang dikatakan kumpulan paling kuat utara Syria, mengumumkan bahawa mereka juga telah memulakan serangan ke atas Hama.

Jurucakap tentera Ahrar al-Sham, Omar Khittab melalui video yang dimuatnaik ke media Youtube mengumumkan peringkat awal pertempuran menentang rejim jenayah kini sedang dilancarkan. (ulamasedunia)