Nelayan tidak pernah dipinggirkan – Exco

SELANGOR tidak mempunyai cadangan untuk memberikan bantuan secara ‘one-off’ kepada nelayan, buat masa ini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, bagaimanapun golongan itu tidak pernah dipinggirkan dalam usaha meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.
 
Katanya, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan dalam bentuk bantuan enjin, sampan dan peralatan menangkap ikan membabitkan 144 penerima pada 2015, lapor SelangorKini.

“Bermula 2016, dasar pemberian ditambah baik iaitu bentuk bantuan adalah berbentuk peralatan menangkap ikan sahaja dan kita tidak lagi memberikan bantuan sampan serta enjin.

“Ini disebabkan dengan peruntukan yang ada, lebih ramai lagi golongan nelayan dapat merasai bantuan disediakan,” katanya ketika sesi penggulungan Menjunjung Titah Sultan Selangor, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di Shah Alam, hari ini.

Beliau menambah, sejumlah RM824,390 diperuntukkan kepada 732 nelayan dalam bentuk bantuan peralatan menangkap ikan seperti GLobal Positioning System (GPS) dan jaring menangkap ikan, pada 2016.

“Ia tidak termasuk RM607,780 membabitkan 168 penerima dalam kalangan usahawan akuakultur yang menjadikan jumlah keseluruhan RM1.4 juta dengan 900 penerima,” katanya lahi.