Projek jalan Kampung Usaha Jaya Tukau terbengkalai

MASALAH jalan ke Kampung Usaha Jaya Tukau (Tukau Tengah), Sungai Beluboh, Miri sehingga kini masih lagi tidak berturap sepenuhnya. Penduduk Kampung Usaha Jaya Tukau mengadu masalah ini kepada pihak kerajaan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Walaupun ada jalan diturap tetapi hanya separuh jalan.

Advertisement

Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai pekebun, nelayan dan terdapat juga di antara mereka bekerja di Bandaraya Miri secara berulang alik. Masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung tersebut adalah jalan masuk ke kampung mereka penuh dengan lopak dan berlumpur ketika musim hujan kerana sistem perparitan tidak dirancang dengan baik.

Setiap kali musim pilihan raya ada wakil-wakil rakyat datang berjanji untuk mengatasi masalah jalan kampung tersebut tetapi selepas pilihan raya berakhir muka mereka pun susah hendak nampak.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak yang baru Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg pernah berkata yang setiap wakil rakyat diberi peruntukan sebanyak 5 juta ringgit untuk projek kampung tetapi kemana perginya projek jalan kampung tersebut.

Penduduk kampung Usaha Jaya, Tukau tidak mudah lupa dengan janji-janji pihak yang berwajib untuk menaiktaraf jalan kampung tersebut dan menuntut agar pihak yang berwajib dapat menunaikan janji-janji mereka yang selama ini tertangguh dan terbengkalai. Janji pihak yang berwajib adalah hendak membina sistem perparitan yang terancang sekali gus dengan menaikkan taraf jalan. Memang terdapat papan tanda menaik taraf jalan kampung tetapi jalan masih tidak diturap sepenuhnya.

Hanya sebahagian kecil saja yang diturap dengan tar dan jalan kerikil tapi sebahagian besar lagi masih jalan tanah dan berlumpur terutama sekali jalan masuk ke dalam kampung tersebut.

Keadaan jalan ini agak  teruk dan berlubang dan tidak sesuai untuk kenderaan ringan apabila musim hujan dan lebih sukar lagi apabila hujan berterusan. Jalan raya yang baik  amat penting bagi penduduk di kampung tersebut untuk memudahkan perjalanan mereka seharian dan membawa hasil tanaman mereka untuk dijual ke Tamu yang berdekatan.

PAS mendesak agar pihak yang berkenaan dapat mengunakan peruntukan yang telah disediakan untuk menyelesaikan masalah jalan dan infrastruktur kampung tersebut dengan segera tanpa perlu menunggu PRU14 nanti.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan telah diberi amanah oleh rakyat untuk menjaga kebajikan rakyat, seharusnya keperluan rakyat perlu diberi keutamaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Kita harap masalah jalan kampung ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat ini amat dihargai.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak