RUU 355: Dua berita gembira

SITUASI politik dalam negara kita kini dalam kecamuknya yang memuncak. Terbaru ialah tunduknya UMNO kepada tekanan rakan-rakan BN yang lain dalam isu RUU355 yang menyaksikan kerajaan menarik diri untuk membentangkannya sendiri.

Advertisement

Dikatakan bahawa dalam isu-isu besar yang dibawa oleh UMNO, belum pernah rakan-rakan dalam BN seberani itu menolak cadangan UMNO tersebut. Jika begitu, tepatlah andaian sesetengah penganalisis politik yang mengatakan UMNO kini semakin lemah. Ia seperti mencabut gigi taring UMNO di dalam BN. MCA pun sudah mengisytiharkan kemenangan secara terbuka.

Kecuali isu RUU355 ini adalah kecil bagi UMNO, maka andaian tadi mungkin salah. Jika ianya satu isu kecil sahaja, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mungkin tidak merasa tertekan untuk mengumumkan penarikan diri kerajaan daripada membentangkannya. Maka UMNO tidak boleh dikatakan lemah. UMNO masih bertaring di dalam BN.

Jika begitu, maka RUU355 pulalah yang kecil sehingga UMNO tak merasa tertekan dan terhina untuk menarik diri daripada pembentangan. Ia dikira bukan satu kekalahan dan ketundukan kepada rakan-rakan komponen dalam BN. Ia hanyalah soal keraian dan menjaga silarurrahim yang tidak menjejaskan dasar dan ketuanan UMNO dalam BN.

Kalau begini keadaannya, maka UMNO bukanlah boleh dianggap sebagai pejuang Islam sejati. Pejuang Islam sejati sudah pasti merasa tertekan dan amat terguris untuk tunduk kepada tekanan parti-parti politik yang bersatu menolak agenda Islam untuk negara. RUU355 adalah agenda besar untuk pemerkasaan Islam dalam negara melalui pemerkasaan kuasa Mahkamah Syariah. Jika ianya kecil bagi UMNO, maka sudah pasti UMNO bukan pejuang Islam sejati. UMNO masih bermain-main saja dengan Islam yang dianutinya itu.

Mana satu yang betul, UMNO-lah yang akan menentukannya. Apa yang UMNO rasa dengan penarikan diri itu, itulah UMNO yang sebenar. Rakyat akan mengukurnya di situ. Jika UMNO tidak merasa tertekan dan terhina, rakyat yang enggan dengan agenda Islam akan memuji UMNO. Manakala rakyat yang cintakan Islam akan marahkan UMNO kerana tunduk kepada tekanan orang yang menghalang agenda Islam.

Itu UMNO. Adapun PAS, ia lain. PAS sudah menduga sebarang kebarangkalian ketika berhadapan isu RUU355 ini. RUU355 bagi PAS adalah sebuah perjuangan. PAS menjemput semua umat Islam untuk bersama memperjuangkan Islam dan syariatnya. Malah, PAS sentiasa mendukung dan bersama semua kumpulan umat Islam yang menggerakkan agenda Islam untuk negara. Islam adalah milik dan hak semua. Semua berhak untuk menjadi pejuang Islam. Hak semua juga untuk saling bantu membantu dan menasihati.

Jika boleh disebut kelebihan PAS, maka ia adalah kepakaran dan keseniorannya di dalam medan politik tanah air dan antarabangsa. Politik adalah dunia PAS. Ia jatuh bangun dan kalah menang dalam politik sejak zaman kemerdekaan negara lagi. Tiada siapa yang boleh menafikannya. Adapun medan-medan lain seperti pendidikan Islam, kebajikan, kesukarelawanan dan sebagainya, walaupun PAS amat menyerlah, tetapi kumpulan-kumpulan Islam juga turut menyerlah. Ia satu persaingan atau kerjasama yang amat baik dan dialu-alukan.

Memartabatkan Syariah Islam melalui pengkanunan hukum-hukum Islam di dalam undang-undang negara adalah perjuangan PAS yang begitu mendasar. PAS tidak pernah dalam sejarahnya berundur atau berhenti. Jika dilihat berundur, maka ia hanya satu strategi untuk segera mara melalui laluan dan bukaan yang lebih baik. Mengalah jauh sama sekali.

Krisis terbaru PAS beberapa tahun lalu membuktikan kesetiaan dan keikhlasan PAS memperjuangkan syariat Islam. Sekumpulan pemimpin PAS yang gelojoh akibat termakan umpan musuh mula mencanangkan perjuangan Islam tanpa syariat untuk PAS. Mereka menghiaskan kehendak nafsu mereka dengan nama-nama yang indah seperti Islam rahmatan lil alamin, Islam maqasid syar’iyah, Islam moderate dan lain-lain lagi. Isinya yang utama ialah ketepikan dulu bicara soal syariat Islam dan pengukuhannya. Ada lagi yang lebih besar dan lebih utama, hujah mereka.

Para ulamak, pemimpin PAS dan akar umbinya yang ikhlas dan setia menghidu bau busuk ini. Akhirnya kumpulan pemimpin PAS yang gelojoh tersebut diturunkan dan diberi pilihan samada untuk kekal atau keluar daripada PAS. Ia kisah pilu dan sedih. Tetapi PAS dan ahlinya menganggapnya sebagai satu pengorbanan mesti terhadap sebuah perjuangan suci yang tidak mungkin ditinggalkan atau dirosakkan.

RUU355 mula muncul di persada politik negara apabila UMNO menerima seruan PAS agar turut serta memajukan Islam melalui pengkanunan undang-undang jenayah Islam. Bersama UMNO memperjuangkan agenda Islam memberi satu maksud besar bahawa majoriti umat Islam sudah bersedia untuk berubah dan bergerak kepada Islam.

Walaupun agenda PAS adalah lebih menyeluruh dengan hukum hudud, qisas dan takzir Islami, tetapi PAS menerima pandangan banyak pihak agar bergerak menelusuri perlembagaan negara yang masih utuh tafsiran sekular dan otak penjajahnya. Justeru RUU355 disarankan sebagai satu proses pemerkasaan undang-undang syariah yang lebih harmoni dan tidak menyanggahi perlembagaan. Melaluinya, hukum-hukum jenayah syariah ditambah baik dan menepati al Quran dan Sunnah nabawiy buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan jenayah syariah negara.

Menempuh perjalanan sebuah perjuangan Islam yang sentiasa sukar dihadang dan dihalang oleh kejahilan, keegoan, kemunafikan, kelemahan dan ketakutan umat sendiri, isu RUU355 seperti akan berakhir dengan ceria apabila kerajaan mengumumkan untuk membentangkannya sendiri sebagai rang undang-undang kerajaan. Sudah pasti ia laluan yang ditunggu-tunggu kerana sememangnya ia merupakan satu tanggung jawab pemerintah Islam seperti UMNO.

Tetapi ia bagaikan sebuah mimpi manis yang dikerat putus oleh kejutan kegagalan UMNO untuk meyakinkan rakan-rakan komponen dalam BN bahawa ia adalah sebuah penambahbaikan undang-undang Islam untuk umat Islam sahaja. Ia adalah kelemahan UMNO yang tentu sahaja difahami dengan mudah sebagai petunjuk kerasnya penentangan rakan-rakan UMNO terhadap agenda pemerkasaan Islam khususnya di dalam perundangan negara.

Sehingga artikel ini ditulis, RUU355 akan kekal sebagai satu rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh YB Tuan Guru Presiden PAS. UMNO pula kekal menyatakan sokongannya melalui undinya nanti. Itu satu kepujian yang patut disyukuri.

Namun, ketika UMNO dirundung malang kerana terpaksa tunduk kepada rakan-rakan komponennya, RUU355 terus mendapat sokongan dan kekuatan daripada anggota tubuh umat Islam. Ada dua kejutan yang menggembirakan kita semua.

Pertama, kenyataan berani dan terbuka oleh bekas Ketua Hakim negara, Tun Ahmad Fairuz bahawa sudah tiba masanya negara kita keluar daripada kepompong perlembagaan dan undang-undang yang diwarisi lama daripada penjajah dan disifatkan beliau sebagai terlalu antik dan tidak lagi sesuai. Beliau juga secara terang-terangan mahukan Islam sebagai ganti. Untuk RUU355 apabila ditanya, beliau menyatakan kehairanannya dengan sikap menentang oleh pihak-pihak yang menentang.

Kenyataan Tun Ahmad Fairuz tersebut adalah satu kredit besar kepada perjuangan menegakkan Islam. Negara kita yang dirundung pelbagai masalah yang menekan dan menyusahkan hidup rakyat amat memerlukan proses pengislahan yang menyeluruh. Ia sebagaimana menuntut perubahan minda rakyat ramai, ia juga menuntut sokongan padu daripada golongan atasan yang turut berpengaruh memandu negara ini. Tun Ahmad Fairuz mewakili golongan kedua ini. Ia adalah satu berita gembira yang mengukuhkan azam dan kesetiaan kepada ugama.

Kedua, kenyataan sokongan oleh dua tokoh dan ulamak besar dari Timur Tengah terhadap usaha pemerkasaan hukum syariah di dalam perundangan negara yang terkandung lewat RUU355 yang sedang diperjuangkan.

Syeikh Hamman Said, seorang ulamak Hadis yang menjadi rujukan umat dan juga bekas muraqib am Ikhwanul Muslimin Jordan secara terang-terangan menyeru umat Islam khususnya ahli-ahli parlimen muslim untuk bersatu menyokong Rang Undang-Undang 355 yang akan dibentangkan nanti.

Begitu juga dengan Syeikh Abdul Fattah al Khalidi, seorang ulamak tafsir yang terkenal turut membuat kenyataan yang sama. Beliau amat dikenali di kalangan para penuntut Malaysia di negara Jordan. Kenyataan kedua-dua tokoh besar yang menjadi rujukan umat ini yang sedang ditularkan melalui media sosial kini diharap mampu menutup pintu fitnah dan serangan dari dalam kumpulan Islam sendiri yang mempertikaikan kewajaran RUU355 ini.

Kedua-dua ulamak besar ini dalam kenyataan ringkas langsung mereka memetik beberapa ayat al Quran dan mentafsirkannya. Ia adalah sebuah kewajiban yang jelas difahami kecuali oleh mereka yang suka berjidal dan dijangkiti virus pemikiran yang cuba membantutkan kemaaraan umat menuju kehidupan bersyariat yang diredhai Allah.

Bagi mereka yang berfikir dengan insaf dan tanpa diikat sebarang ketaksuban kepada mana-mana individu atau kumpulan, mereka akan dapat merasakan bahawa PAS sebenarnya lebih dekat kepada pengajaran dan petunjuk yang diberikan oleh para ulamak besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Semoga Allah memberkati kita semua. – HARAKAHDAILY 3/4/2017