Sewa atau miliki sendiri rumah?

PERLU ke golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri atau cukup sekadar menyewa sahaja?

Advertisement

Saya terpanggil untuk mengulas sedikit kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini yang mahu rakyat negara ini menukar cara pemikiran mereka berhubung pembelian rumah ketika muda dan menanggung hutang jangka panjang yang besar.

Bagi saya setiap orang perlu ada perancangan dan usaha untuk memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing.

Walaupun menyewa itu dilihat sebagai lebih menjimatkan berbanding membeli rumah sendiri, tetapi kalau kita lihat jangka masa panjang, memiliki rumah sendiri lebih menguntungkan dan memberikan kepuasan diri sendiri berbanding menyewa.

Rumah yang dibeli sudah pasti nilainya akan bertambah dari tahun ke tahun. Dan seandainya suatu hari nanti kita bercadang untuk menjualnya, ia akan memberi pulangan keuntungan kepada kita. Sedangkan sekiranya kita terus menyewa, segala bayaran sewaan tadi hanya akan menjadi milik tuan rumah sedangkan kita sendiri tidak mendapat sebarang keuntungan daripada nilaian rumah tersebut.

Tambahan pula penting untuk setiap individu memiliki rumah sendiri supaya waris ada tempat berteduh andai kata umur kita tidak panjang. Ini kerana setiap rumah yang dibeli kebiasaannya pembeli dikehendaki mengambil Insurans/ Takaful MRTT/MRTA. Sekiranya pembeli meninggal dunia, maka rumah tersebut akan menjadi milik waris tanpa perlu waris kita menjelaskan apa-apa bayaran pinjaman lagi kepada pihak bank.

Justeru, alasan berpendapatan rendah tidak patut dijadikan sebab untuk tidak memiliki rumah sendiri. Dengan perancangan kewangan yang baik di samping sedikit usaha untuk menambahkan pendapatan, tidak mustahil golongan berpendapatan rendah mahupun golongan belia mampu memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing. – HARAKAHDAILY 3/4/2017

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)