Wasiat Nabi tangani krisis perpecahan jemaah

USRAH semalam, baca hadis ke-28 dari kitab 40 hadis Imam Nawawi. Ia berkenaan wasiat taqwa dan taat menghadapi zaman akhir sekarang.

Advertisement

Lafaznya berbunyi:

عن أبي نجيح العرباض بن سارية رضي الله تعالى عنه قال: وعظنا رسول الله صلى الله عليه وسلم موعظة وجلت منها القلوب وذرفت منها العيون. فقلنا يا رسول الله كأنها موعظة مودع فأوصنا، قال: { أوصيكم بتقوى الله عز وجل، والسمع والطاعة وإن تأمّر عليكم عبد، فإنه من يعش منكم فسيرى إختلافاً كثيراً، فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين عضّوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

“Dari Abi Nujaih Al-Irbadh bin Sariyah RA berkata: Rasullah telah menyampaikan suatu pesanan yang menggetar jiwa dan menggugurkan air mata. Lalu kami berkata, Wahai Rasulullah, pesananmu seolah-olah pesan terakhir seorang yang mahu mengucap selamat tinggal. Maka tinggalkanlah wasiat pada kami.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Aku wasiatkan pada kamu supaya bertaqwa kepada Allah, dan dengar taat kepada pemimpinmu sekalipun doa seorang hamba sahaya. Sesungguhnya barangsiapa yang sempat hidup (pada akhir zaman) pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajiblah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifahku yang diberi petunjuk selepasku. Peganglah ia dengan gerahammu. Dan hindarilah perkara-perkara baharu. Sesungguhnya setiap bidaah adalah sesat.” [HR Abu Daud dan Tirmizi]

Hadis ini sangat padat dengan makna dan pengajaran. Ia umpama pesanan terakhir Nabi. Secara kasar kita boleh senaraikan kepada beberapa poin:
1. Taqwa pada Allah
2. Dengar dan taat pada Allah
3. Ikut sunnah Rasul dan khulafa’
4. Hindari bidaah.

Keempat pesanan ini sebenarnya berkait antara satu sama lain. Ia merupakan solusi untuk menghadapi zaman yang Nabi sebut sebagai zaman berlaku percanggahan yang amat banyak.

Maka inilah zamannya! Zaman khilaf! Zaman masing-masing mahu pakai pendapat sendiri. Zaman pemimpin dicanggah oleh ahli sendiri. Zaman perselisihan yang membawa kepada perpecahan. Zaman hak demokrasi dijadikan pegangan utama mengatasi batas agama.

TAQWA ALLAH
Justeru Nabi berpesan, supaya terus teguh dengan jalan yang benar, dengan cara bertaqwa pada Allah yang pertama. Bina makrifah Allah pada hati dan akal. Kenal Allah sedalamnya. Takut Allah segerunnya. Cinta Allah sepenuhnya. Taat perintah-Nya dan hindar larangan-Nya. Bertawakallah hanya pada-Nya. Ini yang utama.

Mencari redha Allah sudah semestinya. Segala matlamat lain perlu dikesampingkan sekiranya bertembung dengan kehendak Ilahi. Yang dikejar semua adalah kemenangan akhirat, kemenangan dunia hanyalah bonus terpilih, bukan buat kepada semua pejuang.

TAAT PEMIMPIN
Kedua, taat pada pemimpin dalam erti kata sebenar. Nabi menggambarkan taat yang tidak berbelah bahagi, sehingga dia menyebut walaupun pemimpin itu seorang hamba. Jangan berkhilaf tindakan dengan arahan pemimpin. Hendak berkhilaf pendapat pun bukan di tempat terbuka sebagaimana sirah. Mengangkat suara kepada pemimpin atau mendahului mereka pun tidak dibenarkan, sebagaimana permulaan surah al-Hujurat.

Mempertahankan kepimpinan adalah suatu kemestian dalam menghadapi kecelaruan saf Islam hari ini. Lebih-lebih lagi apabila pemimpin diserang pihak luar. Renung bagaimana sahabat menadah tubuh mempertahankan jasad Nabi dari dijamah senjata musuh dalam peristiwa Uhud.

Punca perpecahan kita dapat kesan berlaku kerana tiada AsSam’u wal Taatu dalam diri anggota Islam. Dalam riwayat lain Nabi menambah sifat pemimpin selain hamba dengan habsyi dan rambut kerinting umpama pokok anggur. Ketiga sifat ini perlu dikaji teliti untuk diqiyaskan dengan fenomena dewasa ini.

Justeru, dakyah menukar pemimpin bukanlah idea yang baik. Ia tidak menepati pesan Nabi di atas.

MENGIKUT SUNNAH
Ketiga pula, mengikut sunnah Nabi dan khulafa’nya. Ini amat perlu dititik beratkan terutama dalam lapangan jemaah Islam. Setiap tindakan harus mencontohi sunnah supaya tidak tersasar lalu menyemarakkan lagi perpecahan tak berkesudahan. Hanya Al-Quran dan Sunnah jalan yang satu. FirmanNya:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِه

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain, kerana ia mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. [Al-Anaam:153]

Soal memilih kepimpinan, soal pelaksanaan syariah, soal fundamental pandangan Islam, dan berani berhadapan kuffar, haruslah menepati sunnah-sunnah manusia-manusia ulung yang baginda sebutkan. Apa yang mereka buat, itulah yang kita buat. Apa yang mereka tidak buat, jauhkanlah.

MENJAUHI BIDAAH
Keempat dan terakhir adalah tegahan keras terhadap pengamal bidaah. Ramai memahami bidaah dari sudut syariah, tetapi bidaah terbesar adalah dari sudut akidah. Berideologi songsang seperti liberalisme, pluralisme, sosialisme dan zionisme adalah bidaah yang berleluasa hari ini.

Dari sudut syariah pula, meninggalkan sunnah berpolitik Nabi SAW dan khulafa lalu meniru barat juga adalah bidaah. Menyebut negara-negara barat yang maju materialnya walaupun tidak menjalankan Islam sebagai contoh ikutan, dan menggambarkan keburukan negara umat Islam yang silap mengaplikasikan undang-undang tuhan, menjadi trend pemikiran hari ini. Sedang mereka tidak mengambil contoh negara-negara zaman kegemilangan Islam dahulu, disaat barat masih dibelenggu cengkaman gereja.

Ramai berhujah tidak salah mengambil kebaikan barat berdalilkan hadis kebijaksanaan barang tercicir milik orang Islam. Ya, tidak salah sekiranya tidak bertembung dengan Islam. Yang salah adalah meninggalkan ajaran sunnah semata-mata untuk mengikut barat. Inilah maksud BIDAAH!

Sebagai organanisasi Islam, hanya kembali kepada Islam jalan untuk menangani perpecahan.
Firman Allah SWT:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُول

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya. [An-Nisa:59].HARAKAHDAILY 3/4/2017