Adun Chetok dimasukkan ke HUSM, stabil

KESIHATAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, dalam keadaan stabil.

Advertisement

Isterinya, Noraini Md Ali Matar ketika dihubungi memberitahu, percakapan suaminya juga semakin jelas berbanding semalam.

Mengulas kejadian yang berlaku pagi semalam Noraini berkata, anak sulungnya Nurul Nabila Abdul Halim tiba-tiba menerima panggilan dari suaminya (Abdul Halim).

“Ketika itu suaranya perlahan dan pertuturannya juga tidak jelas.

“Dia tiba-tiba terkena serangan angin ahmar sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak ke Kias,” ujarnya.

Sambungnya, mungkin kerana tidak selesa ketika itu, dia (Abdul Halim) terus memberhentikan kenderaannya di bahu jalan di Tunjung.

Jelasnya, selepas menemui beliau yang bersendirian dalam kenderaan, akhirnya beliau terus di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll.

“Bagaimanapun ustaz terpaksa dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut,”ujarnya.

Katanya lagi, ada pendarahan di kepala suaminya bagaimanapun tidak perlu membuat pembedahan. – HARAKAHDAILY 4/4/2017