Penduduk dah setuju, pihak lain adu domba

SAMA seperti projek Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat gangguan pihak tertentu menyebabkan projek untuk manfaat penduduk lambat dilaksanakan.

Advertisement

Parti serpihan seolah-olah mahu menjadi juara. Hari ini penduduk Kampung Laut lega selepas pemimpin terbabit keluar PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Begitu juga projek pembangunan Lembah Binjai cuba digegerkan PAN selepas penduduk terlibat memberi kerjasama bagi membangun kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, ada segelintir pihak yang tidak setuju terhadap projek itu selepas persetujuan penduduk terlibat dicapai.

“Mereka datang kemudian setelah persetujuan dibuat. Kalau mereka hendak hitam putih biarlah berjumpa dengan kerajaan atau MPKB BRI,” katanya di Kota Bharu.

Baru-baru ini seorang aktivis PAN mendakwa projek pembangunan Lembah Binjai tidak dimaklumkan kepada penduduk biarpun sudah diwartakan.

Aktivis sama juga sebelum ini difahamkan terlibat ‘menghasut’ segelintir penduduk Orang Asal di pedalaman Gua Musang.

Abdul Fattah berkata kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan Lembah Binjai dalam lima fasa setelah menerima persetujuan penduduk terlibat.

Katanya, isu yang cuba dibangkitkan pihak terbabit hanya di fasa pertama sahaja.

“Kerajaan negeri hanya memberi kelulusan pembangunan bagi kawasan di Kampung Chepa, Binjai sahaja.

“Kita akan tengok kesan pembangunan itu untuk kita nak pertimbangan bagi zon-zon yang lain. Fasa pertama hanya melibatkan 12 rumah penduduk sahaja.

“Pihak terbabit membuat adu domba perkara yang tidak tepat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/4/2017