Siasat segera kehilangan RM1.1 bilion untuk rumah Felda

MERUJUK perkembangan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda ( PGBF ), bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd  Isa Samad dalam satu siaran disiarkan oleh akbar Sinar ruangan SOROT, mengesahkan Felda sudah mengeluarkan perbelanjaan RM400 juta hingga RM600 juta untuk pembangunan rumah fasa pertama 8,470 unit, selebihnya untuk pembinaan fasa seterusnya sebanyak 11,630 unit lagi memerlukan pinjaman daripada bank.

Advertisement

Ketua Jabatan Dokumen dan Kontrak PGBF, Mazlan Abdul Karim juga mengesahkan Felda sedang berusaha menyelesaikan pembinaan ini sepertimana dijanjikan akan siap sepenuhnya 20,000 unit pada 2018 dengan suntikan kewangan dari pihak organisasi luar. (Sinar 30 Ogos 2016)

Sebelum ini banyak kenyataan, Felda menyatakan bahawa mereka memperuntukan RM1.4 bilion untuk membina 20,000 unit PGBF bermula 2013 dan akan siap 2018. Antara rujukanya ialah :
Majalah Aspirasi Glokal – 30 Oktober 2014
Majalah Aspirasi Glokal – 30 Mei 2015
BERNAMA / Berita Harian – 23 April 2015

Jika merujuk kepada kenyataan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd  Isa Samad, sehingga 2016 hanya 8,470 unit sudah dalam proses pembinaan dengan Kos telah dibelanja RM600 juta, maka memberi kefahaman kepada kita, baki peruntukan daripada RM1.4 bilion ini ialah RM800juta.

Jadi kemana baki peruntukan RM800 juta ini sehinggakan pihak Felda perlu mendapatkan dana baharu?

Satu lagi suntikan dana pinjaman sejumlah RM300 juta diperoleh daripada Bank Perdagangan bertujuan memulihkan projek PGBF yang sakit diseluruh negara terumanya di Pahang (4,000 unit)

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Abu Bakar Harun dalam satu siaran Majalah Felda Aspirasi Glokal 30 Ogos 2015.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, menyatakan di Pahang 4,000 buah telah dilaksanakan oleh kontraktor terpilih, tetapi ada yang telah pun siap dibina sepenuhnya, ada yang masih di tahap 50 peratus pelaksanaan serta ada juga terbengkalai di peringkat awal lagi.

“Antara projek PGBF yang terbengkalai ialah di Felda Bukit Sagu Kuantan, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg. Awah dan Felda Chini 3, Pekan,” katanya.

Berdasarkan beberapa kenyataan, maklumat serta pemerhatian yang kami lakukan, tidak ada laporan terperincil mengenai agihan peruntukan membaik pulih projek sakit ini. Beberapa tempat yang sebut di atas masih lagi tidak berubah terutamanya di Felda Bukit Tajau dan Felda Chini 3.

Jika peruntukan daripada RM1.4 bilion, telah digunakan hanya RM600juta, ini memberi perkiraan jumlah peruntukan ini berbaki RM800 juta dan ditambah dengan pinjaman tambahan membaik pulih projek sakit RM300 juta, keseluruhan nilai kewangan projek ini ialah RM1.7 bilion.

Jika betul RM600juta telah digunakan, ini bermakna RM1.1 bilion lagi masih berbaki. Persolannya kenapa perlukan dana baharu? Ke mana baki peruntukan ini?

Kami melihat ada sesuatu yang disembunyikan dan sewajarnya warga Felda diberi penjelasan segera mengenai perkara ini.

Kami menyeru semua pihak terutamanya pertubuhan berkaitan Felda seperti GENERASI, MBFM dan KAF peka dan terus memantau projek ini agar tidak disalah urus oleh pihak berkepentingan.

Kami mendesak pihak berkuasa Polis, SPRM membuat siasatan terbuka jika benar ada unsur penyelewengan projek PGBF yang maklamat asal sangat murni untuk menyediakan 20,000 unit rumah kepada generasi kedua Felda.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
05 April 2017 / 08 Rejab 1438H – HARAKAHDAILY 5/4/2017