Berjubah bukan syarat untuk berdakwah

DALAM kalangan masyarakat hari ini menganggap dakwah sebagai tanggungjawap yang digalas oleh seseorang yang bergelar ustaz. Dakwah dilihat sebagai “lambang Islam” yang hanya layak bagi golongan berjubah dan berkopiah, manakala bagi mereka yang bukan bergelar ustaz dikecualikan daripada kerja-kerja dakwah.
       
Namun begitu, tanggapan itu meleset daripada erti sebenar dakwah. Konsep dakwah boleh ditafsirkan sebagai sebuah program lengkap yang merangkumi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat hidayah dan panduan daripada Allah. Seseorang pendakwah perlu memiliki beberapa kriteria dan ciri-ciri yang boleh menarik sasaran pendakwah.
       
Pertama, menyampaikan dengan hikmah (kebijaksanaan). Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125).

Advertisement

Perkara asas yang perlu dimiliki bagi seorang pendakwah adalah dengan menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Apabila kita menyeru manusia, menegur atau menasihati mereka, kita perlu ada persediaan dan persiapan ilmu. Jangan menegur manusia tanpa persiapan dan terus menghukum “Perbuatan kamu ini salah, cara berwuduk kamu salah”. Manusia akan bertanya mengapa salah. Jika kita memberi jawapan ustaz kita mengatakan salah, orang yang ditegur juga mempunyai ustaz, ustaznya mengajar begitu. Sebab itu perlu adanya persediaan ilmu, setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa fakta dan dalil yang difahami, dan dapat berhujah menggunakan alasan-alasan tersebut. Janganlah pula berhujah secara semberono.

Kedua, mempunyai kemahiran. Kemahiran ialah kecekapan dan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu. Kemahiran perlu disandarkan dengan ilmu pengetahuan supaya dapat mengawal dan menyusun strategi untuk menyebarkan dakwah. Kadangkala seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan cara yang berkesan, seterusnya akan menyebabkan sasaran dakwah tidak sampai pada target yang sepatutnya. Antara kemahiran yang diperlukan bagi seorang pendakwah adalah kemahiran berhujah, pengucapan awam, menulis, bersosial, psikologi, interaksi dan komunikasi.

Ketiga, menggunakan pemikiran kontemporari. Seorang pendakwah mesti melihat kepada situasi sekeliling dan keadaan semasa. Dia harus mengambil kira kepelbagaian sikap, perangai dan jiwa sasaran dakwah. Maka sudah pasti cara pendekatan yang berbeza mengikut target sasaran. Selain itu, hindari cara berfikir yang mudah menghukum orang lain. Permulaan dakwah seharusnya dengan tindakan yang bijak. Satu persatu masalah perlu dianalisis dan ditafsir dengan pemikiran yang segar. Tidak bersifat menghukum tetapi mencari penyelesaian.

Terakhir, menasihati sebagai seorang kawan rapat. Sisi pandangan sindir atau serong kepada sasaran dakwah adalah satu “langkah sumbang” yang perlu dielakkan bagi setiap pendakwah. Cara melihat sebegini akan mempengaruhi cara pendekatan pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada kumpulan sasaran. Akhirnya mereka lari dan menimbulkan ketengangan antara kedua-dua pihak. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang boleh memberi ruang yang selesa kepada mereka untuk meluahkan tanpa malu dan segan. Kesannya, mereka akan menjadikan pendakwah tersebut sebagai teman rapat yang boleh dipercayai dan senang diajak berbincang.
       
Tuntasnya, tugas pendakwah bukan dilihat dari pemakaiannya sahaja tetapi dilihat melalui kriteria dan personaliti yang disebutkan di atas. Usaha ini bukanlah tertumpu kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja, akan tetapi masyarakat sekeliling juga turut mengambil bahagian dalam melaksanakannya. Kemenangan dalam peperangan bergantung kepada strategi yang diatur, begitu juga dengan berdakwah. Sekiranya tindakan lebih pantas daripada berfikir, maka usaha itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia