Peluang kerja rakyat terancam oleh pelabur China?

KEMASUKAN pelabur-pelabur dari negara China ke negara ini  dibimbangi akan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan, demikian menurut Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan  Mohd Ramli.

Advertisement

Katanya, sejarah kemasukan pekerja asing di dalam negara sebelum ini juga telah membuktikan banyak peluang pekerjaan tempatan diboloti oleh pekerja asing.

“Projek tempatan yang dilaksanakan oleh kerajaan kita, pekerja asing sudah ambil tempat rakyat tempatan apatah lagi dengan kemasukan pelabur-pelabur dari China selepas ini.

“Sudah tentu mereka datang dengan modal, bahan, dan kepakaran mereka sendiri. Di mana kedudukan pekerja tempatan?” soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meminta kerajaan menyebut bidang-bidang pekerjaan yang boleh diisi oleh pekerja tempatan dengan kemasukan pelabur China itu nanti.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abd Samad membidas kerajaan apabila ramai pekerja asing yang kononya untuk mengisi pekerjaan katagori 3D (dangerous, dirty & difficult) sebaliknya bekerja di sektor perhotelan.

“Bagaimana kerajaan membuat pemantauan, pekerja-pekerja hotel masih ramai dan dipenuhi warga asing sedangkan pekerjaan itu bukan katagori 3D?” soalnya dalam soalan tambahan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dalam jawapannya menegaskan dasar polisi kerajaan mengenai pengambilan pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus guna tenaga kerja negara.

“Pihak kerajaan akan sentiasa berhati-hati dalam soal ini dan peluang pekerjaan akan diutamakan kepada pekerja tempatan,” ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan sukar untuk memastikan pekerja asing bekerja di sektor yang sepatutnya mereka bekerja.

Ini kerana katanya, pengambilan pekerja asing dibawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Imigresen Malaysia bersama-sama dengan kementerian lain.

“Kita lihat mereka tidak sepatutnya berada di situ, kerajaan akan ambil tindakan,” tambah beliau.

Di dalam soalan asal, Wan Hassan meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah- langkah jaminan pekerja tempatan selepas kemasukan pelabur-pelabur dari Negara China. – HARAKAHDAILY 6/4/2017