Sebak saksikan pembentangan Tuan Guru

SEJURUS selesai pembentangan RUU 355 oleh wakil Marang Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebentar tadi di Dewan Rakyat saya dihubungi oleh seorang rakan wartawan kanan sebuah akhbar harian.

Advertisement

Beliau mahu tahu reaksi saya dan mahu tahu apakah kesan pembentangan tadi buat PAS.

Saya percaya bukan sahaja saya malah seluruh ahli PAS dan mungkin juga mereka yang bukan PAS khasnya yang beragama Islam sebak menyaksikan pembentangan Tuan Guru tadi.

Sebak kerana Tuan Guru mohon agar Islam dihormati dan dimuliakan.

Beliau menggariskan keperluan memperkasakan Mahkamah Syariah agar selaras dengan Islam dan menegaskan betapa RUU ini tidak ada kena mengena dengan rakyat Malaysia yang bukan Islam.

Saya beritahu rakan saya peluang Tuan Guru membuat pembentangan tadi sudah dikira sejarah. Malah banyak sejarah terlakar tadi.

Tidak ada MP PAS pernah bawa Private Members Bill sehingga sampai ke peringkat seperti ini. Tidak ada pemimpin PAS yang pernah berpeluang mengemukakan satu usul penting yang melibatkan pemerkasaan syariah seperti ini.

Tuan Guru mencipta sejarah apabila ucapannya tidak kurang tiga kali disambut dengan hentakan meja iaitu tanda sokongan ahli-ahli dewan termasuk dari bangku kerajaan.

Sesungguhnya segala kekeliruan dan tohmahan terungkai melalui hujah-hujah Tuan Guru tadi dan saya yakin semua umat Islam bukan hanya orang PAS terharu dan bangga dengan kesungguhan Tuan Guru tadi.

Terserlah bahawa orang bukan Islam tidak akan malah tidak pernah terdakwa atau didakwa di bawah Akta 355 sejak ia diperkenalkan 52 tahun lalu.

Malulah kalau orang Islam tidak menyokong RUU ini dan malulah juga yang bukan Islam jika menentang sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan mereka.

Syabas Tuan Guru teruslah ke hadapan memimpin ummah dan menobatkan Islam di tanah air.