Jihad siyasi dapatkan kuasa untuk tegak Islam

DALAM Kamus Lisanul ‘Arab disebutkan bahawa Ar-Rabbani adalah hamba yang mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Dia adalah ulama yang mengajarkan ilmu yang ringan-ringan sebelum ilmu yang sulit-sulit. Dia adalah seorang ulama yang mantap ilmu dan agamanya.

Advertisement

Dari segi pengertian istilah pengertian kepada rabbani sebagaimana dikatakan oleh Abu Hamid al-Ghazali ialah orang yang dekat dengan Allah ataupun hamba paling rabbani adalah hamba yang hampir dengan Allah.

Imam al-Qurthubi dalam tafsir al-Jami’ liahkamil-Quran menulis, maksud Ar-Rabbani adalah penisbatan kepada ar-Rabb. Dia adalah orang yang mengajarkan ilmu yang ringan-ringan sebelum yang berat. Dia adalah ulama ahli agama yang mengamalkan ilmunya.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Tuan Guru Sidek Mohd Nor menjelaskan demikian ketika menyampaikan ucaptama “Ulamak Rabbaniyun Memimpin Jihad Siyasi” sempena Muktamar Dewan Ulamak PAS Perak ke-41 di Markaz Tarbiyyah PAS Negeri Perak, di Air Kuning, 8 April.

Beliau turut membacakan ayat  15 dari Surah al-Hujurat yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”

Tuan Guru menyatakan beberapa jenis pembahagian jihad yang perlu diketahui oleh seluruh ahli gerakan supaya mendapat gambaran sebenar jihad untuk dilaksanakan.

Tambahnya jihad tersebut adalah Jihad Al-Amwal, Jihad An-Nafs, Jihad At-Ta’limi, Jihad As-Siyasi dan Jihad Al-Ma’rifah.

“Jihad politik atau jihad siyasi ialah menegak kalimah yang hak, membetulkan penyelewengan penguasa bersifat zalim dan berusaha mendapatkan kuasa pemerintahan untuk menegakkan Islam dalam negara,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/4/2017