Sedih orang kampung tunggu 4 jam untuk pemeriksaan

Jumlah katil Hospital Negeri Terengganu

Advertisement

1. Hospital Besut 140 katil
2. Hospital Setiu 76 katil
3. Hospital Sultanah Nur Zahirah 821 katil
4. Hospital Dungun 100 katil
5. Hospital Hulu Terengganu 119 katil
6. Hospital Kemaman 116 katil

JUMLAH 1,372 KATIL

Jumlah rakyat Terengganu sekitar 1.18 juta. Nisbah 1 katil bagi 860 orang penduduk. Bahasa mudah orang kampung, dalam satu-satu masa hanya 1 orang dari 860 penduduk Terengganu yang layak sakit dan boleh ditempatkan di hospital.

Paling ketara kekurangannya ialah Dungun. Sebuah daerah dengan kawasan industri oil and gas hanya mempunyai hospital dengan kapasiti 100 katil sahaja, lebih rendah bilangannya dari daerah luar bandar seperti Besut. Semua sedia maklum bahawa kawasan industri oil and gas adalah sangat berisiko dari segi keselamatan. Penduduk Dungun sekarang berjumlah sekitar hampir 180,000. Nisbah 1 katil bagi 1,800 orang penduduk!

Hospital baru Dungun yang nak dibina juga hanya dengan kapasiti 100 katil. Dengan makna ganti hospital lama dengan membina hospital baru tetapi dengan jumlah katil yang sama. Bangunan saja akan dibina baru, tetapi kapasiti tetap tak berubah. Bagaikan rakyat Dungun tak berkeluarga dan tak melahirkan zuriat baru.

Bila bilangan katil hospital tak mencukupi, ini menyebabkan katil atau bed tambahan terpaksa dimasukkan ke dalam wad bagi menampung keperluan. Natijahnya, kewujudan bilangan katil melebihi kemampuan ruang dan kapasiti dalam wad, maka akan berlakulah kesesakan dan ketidak selesaan untuk pesakit serta persekitaran kerja yang tidak kondusif kepada kakitangan.

Bilangan katil hospital juga adalah kriteria yang diambil kira bagi menentukan jumlah perjawatan kakitangan hospital. Sedikit bilangan katil maka sekadar itu jugalah jumlah perjawatan. Sedangkan hakikat sebenar, bilangan pesakit yang memerlukan rawatan jauh melebihi bilangan katil. Kesannya, kakitangan yang ada terpaksa memikul beban kerja yang melebihi kemampuan.

Saya sedih dan terkilan bila orang kampung mengadu terpaksa menunggu lebih 4 jam di Bahagian Kecemasan sebuah Hospital Daerah sebelum dipanggil untuk pemeriksaan.

Saya melihat pemimpin Kerajaan Umno Terengganu terlalu lemah dan tidak mempunyai kemampuan bargaining power atau kuasa mendesak yang kuat terhadap Kerajaan Pusat bagi memperjuangkan hak rakyat Terengganu. Hospital dan perkhidmatan kesihatan adalah keperluan asas rakyat. Beranikah mereka bersuara atau sekadar ikut arus tanpa hala tuju yang jelas bagi mempertahankan sisa-sisa kuasa yang ada tanpa suatu agenda rakyat yang meyakinkan?

Dr Azman Ibrahim
Ketua Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu
8 April 2017 – HARAKAHDAILY 8/4/2017