Keluarga Tok Guru teliti ucapan pemimpin PAN

PEGUAM keluarga Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meneliti ucapan dan kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) pada seminar pemikiran bekas Mursyidul Am PAS.

Advertisement

Nik Adli Nik Abdul Aziz yang mewakili keluarga bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, kajian secara terperinci sedang dibuat peguam yang dilantik.

“Jika terdapat apa-apa tuduhan palsu atau kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Allahyarham maka kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga nama baik Almarhum Ayahanda kami,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Pada 25 Mac lepas keluarga Tok Guru Nik Abdul Aziz membuat laporan polis terhadap PAN berhubung penganjuran seminar oleh parti itu yang menggunakan nama bekas Mursyidul Am PAS terbabit.

Pemimpin PAN sebelum ini sering mendakwa sekiranya Tok Guru masih ada dia pun akan sokong PAN.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

Semalam PAN menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 10/4/2017