PAS Putatan lancar Markas Induk Pilihan Raya

PAS Kawasan Putatan siap siaga dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Ini dibuktikan dengan perasmian Markas Induk PAS Putatan DUN Tanjung Aru Parlimen Putatan. Markas ini akan dijadikan bilik gerakan dan operasi dalam menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Advertisement

Sempena pelancaran markas, Majlis Jamuan Rakyat diadakan yang dihadiri oleh masyarakat pengundi. Rata-rata pengundi yang ditemui memberikan sokongan yang padu kepada PAS. Mereka yakin dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Pelancaran Markas Induk PAS Putatan dihadiri Tuan Hamid Ismail, Penyelaras DUN Tanjung Aru yang juga Naib Yang Dipertua PAS Putatan. Dalam ucapannya, beliau menyeru masyarakat di Putatan menyatakan sikap dan sokongan kepada PAS yang sentiasa prihatin dalam membela dan memperjuangkan nasib marhaen.

Markas Induk PAS Putatan juga sentiasa terbuka kepada masyarakat yang mengalami kesusahan. Aduan dan pandangan daripada masyarakat sangat dihargai, katanya.

Perasmian Markas Induk PAS Putatan disempurnakan oleh Dr. Aliakbar Gulasan, AJK PAS Pusat merangkap Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan PAS adalah parti untuk semua tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Wakil rakyat PAS sentiasa bertanggungjawab dan ‘takut dosa’, amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin, tegas beliau. – HARAKAHDAILY 10/4/2017