Anak muda pendukung perjuangan

SEKALUNG tahniah dan setinggi terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyambut kepulangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang dalam satu program khusus yang dianjurkan semalam, 10 April 2017, 14 Rajab 1438H. program yang bermula di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan berakhir di Masjid Rusila cukup memberi makna bila mana kebanyakan yang menyambut kepulangan Tuan Guru terdiri daripada anak-anak muda.

Advertisement

Dalam usaha kita mendaulatkan Islam di bumi ini, nyatanya cabaran yang perlu kita depani kian mencabar. Meskipun tanah leluhur ini telah bertapak kedaulatan islam suatu ketika dulu, kesan dari agenda penjajah yang secara halus menyingkirkan kekuasaan Islam terpaksa kita hadapi hingga ke saat ini.

Namun dukungan anak-anak muda hari ini telah memberi satu lagi suntikan baru ke arah memperkuat rangka kerja gerakan Islam yang kita dokongi. Memandangkan perjuangan ini sangat panjang, kelangsungan perjuangan dengan penyertaan anak muda menjadi sangat signifikan.

Telah biasa saya tampilkan betapa perjuangan kita dalam mendaulatkan Islam perlu mampu menguasai dewan-dewan perundangan agar kekuasaan Islam mampu menyerlahkan perundangan Islam yang sebenar. Selain menjadikan keberadaan kita dalam dewan-dewan perundangan sebagai medan dakwah, lebih dari itu ia memberi kita keupayaan untuk membentuk system kenegaraan yang benar-benar menepati kehendak syarak.

Bagi menjadikan cita-cita itu suatu realiti, gabungan tenaga kerja pelbagai kepakaran dan peringkat usia amat diperlukan. Di sinilah keberadaan anak-anak muda di medan begitu membanggakan kita.

Pembentangan usul persendirian berkaitan rang undang-undang Akta 355 yang biasa dikenali dengan RUU 355 memberi gambaran kepada kita betapa perlunya kita bersedia mendepani pelbagai senario. Ahli-ahli Yang Berhormat dari kalangan Umno begitu terserlah memberi sokongan kepada pembentangan yang dibuat oleh Yang Berhormat Tuan Guru.

Malang sekali bila mana Umno itu sendiri tidak mampu menguasai parti-parti komponen dalam Barisan Nasional bagi memastikan BN sendiri memulakan langkah memperkasakan agenda yang sangat penting ini. Sebaliknya berlawanan pula di pihak ahli-ahli Yang Berhormat parti-parti pembangkang lain.

Ada yang mencanang betapa mereka parti yang memperjuangkan Islam sebaliknya begitu terserlah bertindak seolah-olah menidakkan keperluan pembentangan usul persendirian yang telah dikemukakan. Mungkin itulah kesesuaian mereka bersama rakan mereka dalam gabungan yang dinamai Pakatan Harapan.

Sikap ahli-ahli Yang Berhormat DAP misalnya yang nyata menghalang usul ini tidaklah diragui lagi. Sememangnya mereka sangat bimbangkan kedaulatan Islam itu dibina melalui dewan-dewan perundangan.

Senario tersebut yang telah sama-sama kita ketahui memerlukan gerak kerja yang teratur bagi memastikan kita mampu mendepaninya secara penuh bijaksana. Dukungan anak-anak muda yang benar-benar memahami aspirasi perjuangan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang kita impikan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, teruslah memberi kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan yang diterajui oleh Yang Berhormat Tuan Guru. Ia adalah suatu kewajipan dalam memastikan perjuangan ini terus berada pada landasan yang sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya. Dalam bahtera perjuangan yang besar ini, kepatuhan dan kesetiaan kepada seorang ketua tidak boleh dikompromi bagi memastikan kelancaran perjalanan menuju destinasi yang diredhai. – HARAKAHDAILY 11/4/2017