KAMI kesal Nanyang Siang Pau ‘bermain api’

Dr Azman

KUMPULAN Aktivis Media Independen (KAMI) mengutuk keras tindakan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau yang menerbitkan karikatur mengumpamakan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Advertisement

Ketika KAMI memperjuangkan liputan media yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab ternyata Nanyang Siang Pau masih berada di takuk media primitif.

Lebih membimbangkan apabila isu yang diperolokkan serta dipersendakan ialah pindaan RUU Akta 355 yang menyentuh soal kepentingan penganut Islam di Malaysia.

Menyentuh soal sensitiviti penganut Islam oleh sebuah akhbar bukan Islam adalah tindakan ‘bermain api’ yang sangat bahaya dan boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai agama dalam negara.

Ternyata Nanyang Siang Pau terikut-ikut dengan gelagat ala sarkas sebahagian ahli parlimen ketika pembentangan Usul Pindaan RUU 355 pada Khamis lepas.

KAMI berharap agar pihak berkuasa Kementerian Dalam Negeri menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau yang kelihatan jelas melanggar syarat-syarat penerbitan akhbar.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)