KDN keluar surat tunjuk sebab kepada Nanyang

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah memanggil ketua pengarang akhbar harian Nanyang Siang Pau Sdn Bhd pada hari ini berhubung karikatur yang dianggap menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

Advertisement

Demikian dimaklumkan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

“Ia juga secara tidak langsung seolah-olah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana Rang Undang-undang (RUU) 355 yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam,” ujarnya.

Menurutnya, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini (11 April 2017) dikeluarkan kepada akhbar berkenaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan tempoh tiga hari telah diberi kepada penerbit untuk menjawab surat tunjuk sebab tersebut.

“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan dua perenggan itu. – HARAKAHDAILY 11/4/2017