Kebebasan suara bukan lesen untuk menghina

PEMBENTANGAN Usul RUU 355 oleh YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen telah memberikan satu pencerahan terhadap salah faham keatas Usul pindaan itu. Sebelumnya, banyak pihak sengaja mengelirukan rakyat Malaysia termasuk non-muslim agar menentang usul ini.

Advertisement

Pembentangan yang cukup jelas dan menjawab segala fitnah keatas RUU 355 ditambah pula dengan penjelasan teknikal dan sejarah RUU 355 oleh YB Datuk Takiyudin Hasan, Ahli Parlimen Kota Bharu membuka mata ramai pihak yang selama ini menentang RUU 355 hasil dari maklumat salah yang diperolehi. Malah sudah ramai yang berubah menyokong RUU 355.

Maka, muncul pula tindakan provokasi melampau akhbar Nanyang Siang Pau menyiarkan karikatur monyet dengan mengaitkan dengan RUU 355, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, dan Tan Sri Pandikar Amin yang jelas berniat jahat dengan cubaan bermain dengan sentimen dalam kalangan pembaca media berbahasa cina.

PAS Kawasan Batu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral NANYANG SIANG PAU yang bersikap biadab dan menghina dengan menyamakan pimpinan kami dengan monyet. Mereka juga menghina islam apabila karikatur monyet tersebut memakai serban, simbol suci umat Islam yang digunakan dalam solat. Malah karikatur itu juga cuba memperlekehkan institusi parlimen dengan tulisan “Hou Zi Xi Fa” bermaksud “monyet main undang undang”.

Jika Nanyang Siang Pau ada pandangan berkenaan dengan RUU 355, kami sedia menyediakan tapak untuk pihak anda berhujah, silakan datang ke gelanggang, jangan baling batu dan sorokkan tangan. Berhujahlah dengan matang dan bukan dengan karikatur yang menghina.

Justeru, saya mewakili PAS Kawasan Batu menyarankan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang sedia ada untuk menyiasat dan menggantung penerbitan Nanyang Siang Pau dengan kadar segera.

13 (1) Tanpa menjejaskan lesen atau permit dibawah mana mana peruntukan lain dalam akta ini, jika menteri berpuas hati bahawa mana mana mesin cetak yang berkenaan dengannya lesen itu telah dikeluarkan adalah digunakan untuk mencetak mana mana hasil penerbitan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara atau bahawa mana mana akhbar yang berkenaan dengannya permit telah dikeluarkan mengandungi apa apa jua yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara, dia boleh membatalkan lesen atau permit itu.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
 
Sekiranya dibiarkan, tindakan provokasi bersifat perkauman ini akan menjadi kebiasaan kerana dengan hanya memohon maaf dapat selesaikan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan tegas berupa pengajaran dan contoh kepada pihak lain amat diperlukan. Biar Nanyang Siang Pau merasai kesan apabila menjolok sarang tebuan.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu