Rafizi, Nanyang Siang Pau apa bezanya?

SAYA ingin menyentuh dua isu sekali gus dalam tulisan saya kali ini. Oleh kerana peristiwa ini berlaku sama hari, jadi eloklah saya tidak membuang masa saya dengan menyentuh satu persatu. Lagipun kualiti fitnah sampah dari kedua-duanya tiadalah jauh perbezaannya.

Advertisement

Nanyang Sian Pau dengan jelas cuba menggugat keharmonian agama dan kaum di Malaysia dengan cubaan menghina bangsa, perlembagaan dan juga paling dahsyat iaitu menghina agama Islam, agama persekutuan kita. Fitnah terburuk daripada mereka.

Dengan cercaan mereka terhadap Speaker dan Ahli Parlimen Melayu Islam yan dipilih secara sah, dan menggunakan saluran perlembagaan yang benar, jelas menunjukkan mereka sanggup melakukan kejahatan sehingga sanggup memfitnah dan menghina perlembagaan negara sendiri. Makhluk jenis ini mungkin boleh berbuat lebih teruk jika kehendak mereka tidak diperolehi walaupun pihak lawan mereka benar.

Keduanya isu yang sedang dipolemikkan oleh pakar strategi PKR iaitu YB Rafizi Ramli. Kepada beliau, saya rasa tidaklah perlu mengulas panjang. Saya cuba menghilangkan gelak saya sejak semalam selepas beliau memaklumkan secara sipi-sipi individu yang ‘rapat’ dengan PAS itu.

Rafizi saya ibaratkan sebagai guruh yang bunyi bingitnya berdentam-dentum, dengan langit diselubungi awan yang gelap gelita yang memaksa orang ramai mengangkat pakaian di penyidai, kerana menjangkakan hujan ribut yang lebat, tetapi akhirnya yang turun, hanyalah hujan renyai-renyai untuk beberapa titik dan ketika.

Suka saya ulang pantun moden yang diperbaharui iaitu,

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Tak lama nanti jadi menteri

Mungkin beliau sedang mengintai jawatan menteri, oleh itu satu keperluan utama untuk menjadi menteri ialah berbohong tapi sanggupkah rakyat melihat pembohong menjadi menteri serta asyik suka memburukkan imej orang lain tanpa bukti?

Saya tidak fikir umat Islam dan juga rakyat Malaysia yang bencikan politik berbentuk pembohongan, fitnah, kebencian yang menghalalkan dosa bersetuju bagi mencapai maksud untuk berkuasa. Kedua-dua Nanyang dan Rafizi sama dalam hal ini.

Kepada Nanyang, saya tidak melihat permohonan maaf itu patut diterima oleh PAS selagi mereka belum menerima tindakan di atas penghinaan itu.

Manakala kepada Rafizi, seperti mana nasihat Datuk Seri TG Presiden PAS, bertaubatlah sebagai kamu orang Islam. Cukuplah mencemari diri kamu dengan politik memperbodohkan rakyat begini.

Saya tidak percaya sepenuhnya kepada Raja Petra Kamaruddin. Tetapi jika mengambil sifir tuduhan Rafizi, jawapan Rafizi ialah menuduh kembali Raja Petra sebagai ejen Umno dan juga mendakwa beliau telah dikafirkan di laman FB dan Twitternya. Siapakah yang kafirkan dia itu? Bolehkah kalau saya kata dia sengaja mengupah orang untuk tagih simpati dengan cercaan itu? Jawab dan bawalah bukti seperti kamu paksakan ke atas PAS. Atau mungkin Rafizi ini ejen Umno sebenarnya setelah banyak strategi dia memusnahkan lagi hubungan antara satu sama lain.

Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
14 Rejab 1438 / 11 April 2017 – HARAKAHDAILY 11/4/2017