PAN bertenggek di atas populariti Tok Guru

“MANA boleh kita mendakwa Tok Guru Nik Abdul Aziz akan menyertai parti lain sekiranya masih hidup. Ini satu tuduhan yang berat,” ujar Adun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood.

Advertisement

Beliau berkata seminar Pemikiran Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dianjurkan Parti Amanah Negara (PAN) Ahad lepas tersembunyi dengan hasrat tersebut.

“Sesiapa sahaja boleh menganjurkan seminar berkaitan pemikiran Tok Guru. Namun isunya rumusan seminar itu cuba menggambarkan PAN bertenggek di atas populariti Allahyarham Tok Guru,” katanya di Pengkalan Chepa.

Ahad lepas PAN menganjur seminar Pemikiran Tok Guru di Kuala Lumpur biar pun keluarga bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak mahu nama Tok Guru diperalatkan parti serpihan terbabit.

Tahun lepas Adun Salor Datuk Husam Musa dilapor melahirkan rasa yakin sekiranya bekas Mursyidul Am PAS itu masih hidup dia juga akan bersama beliau menyertai.

Beliau mendakwa PAS sudah tidak selari dengan cara perjuangan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ahmad Fathan yang menggantikan Allahyarham Tok Guru di Dun Chempaka berkata orang yang meninggal dunia tidak boleh membela diri untuk mempertahankan dirinya.

“Namun perlu diingatkan PAN belum wujud lagi sewaktu almarhum masih ada,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/4/2017