PAS: Memori Al-Ahzab kembali segar

FIRMAN Allah swt dalam surah al Ahzab ayat 9-10, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”

Advertisement

PAS kini menjadi sasaran pelbagai sudut sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Apabila PAS memimpin gagasannya sebagai pembangkang Blok 3.

Pendekatan terbaru PAS menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta usaha gigihnya memartabatkan Islam melalui usaha Pindaan Rang undang-undang Akta 355 dipandang sinis. PAS terus tidak henti-henti menjadi sasaran serangan musuh yang bersifat anti Islam dan pengkhianat perjuangan Islam yang tidak senang dengan kemajuan dan kemampuan PAS dengan rangkaian rekayasa fitnah dan tohmahan bagi mendiskreditkan PAS.

Pendirian PAS terbaru ini adalah bagi menegaskan prinsip bahawa PAS tidak akan bersama dengan mereka yang keras anti kepada islam dan juga pengkhianat perjuangan Islam.

Serangan dan kepungan terhadap PAS ini mengembalikan nostalgia kenangan sirah yang berlaku terhadap Islam dan negara Madinah pimpinan Nabi saw sewaktu peristiwa peperangan Al ahzab.

Asal Usul Pakatan Al-Ahzab

Perkataan al-Ahzab membawa maksud kumpulan-kumpulan atau parti-parti yang bergabung sehingga terbentuk satu parti atau kumpulan yang bertujuan menghadapi dan menghancurkan Islam.

Pada asalnya kewujudan al Ahzab ini daripada penggerak utamanya ialah Yahudi Bani Nadhir yang sangat berdendam dengan Islam dan mengkhianati perjanjian persefahaman dengan Nabi saw atas asas Piagam Madinah. Malah musuh ini melakukan cubaan membunuh Nabi saw.

Dendam dan sikap permusuhan yang kuat terhadap Islamlah faktor kepada usaha menghidupkan al Ahzab.

Siapakah anggota Al Ahzab

Anggota Al Ahzab terdiri daripada beberapa kumpulan yang berbeza latar belakang.

Antara golongan yang anti Islam seperti Yahudi Bani Nadhir.

Golongan yang mengkhianati Perjanjian persefahaman Piagam Madinah iaitu Yahudi Bani Quraizah.

Golongan yang enggan menerima Islam dari kalangan sebangsa dengan Nabi saw dan para sahabat iaitu Musyrikin Mekah.

Golongan yang mengkhianati perjuangan Islam dan menikam dari belakang iaitu Munafikin.

Namun Yahudi Bani Nadhirlah penggerak utama, penyumbang kewangan dana kempen peperangan, pencetus idea dan perancang strategi.

Kesemua golongan tadi tunduk kehendak kepada Yahudi Bani Nadhir dan rancangannya. Mereka terpukau dengan janji manisnya dan habuan yang bakal diterima.

Strategi menghadapi al-Ahzab

Nabi saw sendiri bermusyawarah dengan para sahabatnya membincangkan strategi berdepan dengan Al Ahzab.

Idea Salman Al Farisi ra diterima oleh Nabi saw iaitu membina parit (khandak). Khandak adalah strategi asing bagi orang Arab kerana ia merupakan taktik orang Parsi. Taktik perang orang Arab hanyalah “hit and run”.

Maka taktik menghadapi kemaraan Al Ahzab adalah strategi yang asing bagi musuh yang mampu memberikan kejutan.

PAS juga mengemukakan taktik dan strategi budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai satu langkah asing bagi musuh untuk berdepan dengan gabungan musuh yang memiliki kepelbagaian latarbelakang.

Munafikin yang mengganggu perjuangan Islam

Kerja penggalian parit sebagai taktik menghadapi Al Ahzab sering diganggu oleh Munafikin yang cuba menggagalkannya dengan cara menimbulkan pelbagai masalah. Mereka selalu mencuri tulang lari daripada tapak penggalian, ada yang secara senyap pulang ke rumah, ada juga di kalangan mereka yang sengaja tidak hadir ke tapak penggalian melaksanakan kerja menggali sepertimana para sahabat yang lain dengan memberi bermacam-macam helah dan alasan, ada juga yang lewat datang kerja menggali dan tidak melakukan kerja dengan bermundar mandir tanpa arah tujuan.

Sebaliknya para sahabat Baginda saw gigih dan optimis dengan taktik ini dalam melaksanakan tugas penggalian.

Sikap munafikin memperlihatkan rupa sebenar mereka bahawa mereka sememangnya berharap Islam gagal dalam pertempuran dengan Al Ahzab dan bukannya mereka ingin membantu Islam tetapi mereka membantu musuh Islam.

Taktik baru menjanjikan kemenangan

Sewaktu penggalian parit, berlaku peristiwa pemecahan batu yang menghalang kerja-kerja penggalian. Salman Al Farisi meriwayatkan bahawa Nabi saw memecahkan batu besar itu dengan tiga pukulan dan diselangi dengan pancaran cahaya. Setiap pancaran itu diceritakan Nabi saw bahawa yang pertama Baginda saw diperlihatkan kemenangan Islam atas Parsi, disusuli Rom dan Habshah. Rom dan Paris didoakan agar dianugerahkan kemenangan kepada Islam dan ghanimahnya sebagai hadiah kemenangan.

Ini satu pemahaman bahawa taktik penggalian parit adalah satu strategi yang bakal membuahkan hasil kemenangan pada masa akan datang yang dijanjikan Allah swt.

Al Ahzab ditewaskan dengan pertolongan Allah

Perjuangan Islam pasti berdepan dengan musuh yang ramai dan bersatu. Walaupun mereka berbeza latarbelakang dan pendirian. Akan tetapi tatkala berdepan dengan Islam mereka mengenepikan perbezaan dan bersatu menentang Islam.

Fizikal daripada kesatuan mereka menggerunkan sesiapa sahaja yang melihat mereka. Kemampuan dan keupayaan musuh dengan dana, kelengkapan persenjataan, bilangan anggota yang ramai, pimpinan yang ditonjolkan, semuanya memberikan kelebihan mengatasi lawannya.

Sebaliknya di pihak Islam serba kekurangan pada fizikal, bilangan anggota yang sedikit, dana yang ala kadar, kekurangan kelengkapan dan lain-lain sudah tentu tiada kelebihan jika dibanding dengan Al Ahzab.

Namun, pejuang Islam ada Allah. Yakin pada janji-Nya dan pertolongan-Nya. Optimis dengan masa depan Islam. Ingin keredhaan-Nya dan syurga-Nya bukan dunia yang murah dan tiada kekal.

Pada zahirnya sesiapapun yang melihat pasti akan mengatakan bahawa Islam akan mengalami kekalahan apabila bertembung dengan Al Ahzab.

Allah swt mengutuskan tenteranya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak mampu dihuraikan dengan lojik akal manusia yang terbatas. Angin kencang dan sejuk menjadi tentera Allah mengalahkan tentera Al Ahzab.

Begitulah juga PAS yang kini berdepan dengan Al Ahzab moden yang pada zahirnya serba kecanggihan dan keupayaan. Seolah-olahnya PAS langsung tiada peluang untul menang. PAS dilihat oleh pelbagai pihak sebagai lemah dan tiada upaya menghadapi Al Ahzab.

Maka pada waktu itu, yakinlah bantuan Allah yang tidak mampu dilihat dan diperjelaskan dengan akal fikiran akan didatangkan oleh Allah membela pejuang dan penegak agama-Nya.

Al Ahzab moden juga akan ditewaskan oleh tentera Allah tanpa sedikitpun kepayahan dan kesulitan di pihak Allah swt.

Inilah pertolongan Allah swt yang membawa kepada kemenangan yang tidak dijangka sekalipun bilangan musuh adalah 3 kali ganda berbanding kekuatan yang dimiliki Islam.

Beginilah kisah memori kenangan Perang Khandak atau Al-Ahzab yang amat rapat dengan situasi politik yang sedang dialami oleh PAS pada ketika ini.

Ketahuilah bahawa Al Ahzab tetap wujud sepanjang zaman hingga ke hari kiamat. Hanya yang berbeza adalah orangnya saja, tetapi sikap, perangai dan tindakan mereka adalah serupa dengan apa pernah dialami oleh Islam pada zaman Nabi saw.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 140: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid.”

Semoga Allah swt memperkukuhkan kita di atas perjuangan Islam.
 
Ustaz Najhan Abdul Halim
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat