Pemuda Harapan perlu hormati pendirian PAS

PEMUDA PAS Kelantan sudah meneliti surat pelawaan Pemuda Pakatan Harapan menghadiri konvensyen yang akan dianjurkan Sabtu depan.

Advertisement

Ketuanya Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun berkata, PAS tertakluk terhadap keputusan parti yang tiada hubungan dengan PAN dan DAP.

Kata beliau sekiranya undangan tersebut tidak melibatkan kedua-dua parti berkenaan, PAS tidak mempunyai masalah untuk menghadiri program berkenaan.

“Kita menghargai pelawaan mereka tetapi kita mengharapkan mereka juga perlu menghormati pendirian kita,” katanya di Kota Bharu.

Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempelawa Pemuda PAS menghadiri konvensyen yang akan diadakan di Dewan Perniagaan Cina Sabtu depan.

Laman sosial PAN menyebut konvensyen Pemuda Pakatan Harapan Kelantan akan diadakan 15 April ini mengundang Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu Naib Preiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Naib Presiden PAN yang baru dilantik Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor dan Datuk Zaid Ibrahim (DAP). – HARAKAHDAILY 12/4/2017