Pendidikan seks harus dalam kerangka Islam

DESAKAN oleh beberapa pihak mahu memperkenalkan pendidikan seks disekolah harus diteliti dengan halusi.

Advertisement

Rasional pendidikan seks dalam sistem pendidikan nasional  kerana meningkatnya pelbagai kes sumbang mahram dan juga penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak, tidak harus menyebabkan pendidikan seks diperkenal dengan cara dan pendekatan yang tidak sesuai dengan agama.

Pendidikan Islam yang berteraskan kepada hukum dan panduan pergaulan serta hubungan antara lelaki dan wanita dalam Islam, termasuk hukum mahram dalam sistem kekeluargaan Islam, sepatutnya menjadi teras kepada pendidikan berkaitan dengan isu tesebut.

Kami tidak percaya bahawa cara pendidikan sekular barat yang sangat liberal dalam hal gaya hidup seks akan berkesan dalam membendung gejala salah laku seks dalam masyarakat terutama dikalangan generasi muda.

Pendidikan liberal Barat berorientasikan kebebasan yang lebih menekankan “seks selamat” (safe sex) bukan hubungan yang berdasarkan hukum agama yang menjaga adab dan hubungan yang sah mengikut syariat Islam.

Dengan hanya memberi fokus kepada soal hubungan yang selamat dari sudut fizikal tidak akan mengekang budaya hidup seks liar sebagai suatu gejala yang semakin merebak dalam masyarakat.

Meningkatnya kes buang anak dan salah laku seks harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh. Sistem sosial, kehilangan nilai moral, pengaruh media sosial, pornografi dan budaya hidup liar adalah penyumbang kepada gejala berkaitan. Ia bukan hanya berkaitan kerana tidak ada pendidikan seks atau undang-undang yang lebih tegas.

Kurikulum kini Pendidikan Reproduktif dan Sains Kesihatan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 1989 untuk sekolah menengah dan 1994 untuk sekolah rendah perlu diperkukuhkan dengan menekankan soal hukum agama.

Budaya hidup masa kini yang mendedahkan kanak-kanak kepada jenayah seks berlaku dalam pergaulan tanpa kawalan bukan sahaja oleh ibu bapa malah masyarakat keseluruhannya.

Pemikiran dan gaya hidup liberal yang semakin menguasai masyarakat menambah lagi kecenderungan kanak-kanak diperangkap menjadi mangsa kepada pelbagai gejala dan jenayah seks.

Mapim mengesa pihak kerajaan menggujudkan panel penggubal pendidikan sosial dan kesihatan bersama pakar pendidikan Islam supaya pendekatan sepadu antara ilmu pengetahuan sains kesihatan dan nilai serta hukum agama dapat diterapkan dikalangan kanak-kanak dan anak remaja dibangku sekolah lagi.

Kami juga percaya bahawa pendidikan kepada ibu bapa untuk menangani gejala jenayah seks yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa, perlu dilaksanakan secara konsisten.

Kami percaya jika pendidikan Islam disepadukan dengan pendidikan sosial dan kesihatan,  isu gejala salah laku seks ke atas kanak-kanak ini dapat diatasi dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 12/4/2017