Rafizi kecundang, strateginya temui jalan buntu?

TINDAKAN Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang membuat pengumuman mengemparkan dengan “dakwaan-dakwaan fitnahnya” kepada individu yang rapat dengan kepimpinan PAS bagi mengalihkan tumpuan umat Islam untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dilihat menjadi liabiliti yang besar kepada PKR dan Pakatan Harapan, demikian menurut Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Makpen)  Mohd Zai Mustafa.

Advertisement

Tambahnya, di dalam cubaan untuk mengalih tumpuan umat Islam kepada fokus memperkasakan Mahkamah Syariah telah menjadi “tersilap langkah” apabila beliau juga telah didedahkan menerima jutaan dana politik oleh Raja Putra Kamarudin (RPK) pada 8 April lepas.

“Semacam sudah jelas kelihatan Rafizi telah dipermainkan dengan “langkah silap” strateginya oleh pimpinan keadilan PKR Pusat.

“Amat malang bagi Rafizi yang cuba untuk bernafsu besar dalam impian politiknya, Rafizi yang sentiasa mencipta politik glamor dan sensasi serta  popular dengan “dakwaan-dakwaan fitnahnya” tetapi akhirnya kecundang jua.

“Akhirnya Rafizi telah kelihatan menjadi liabiliti yang besar kepada PKR dan PH yang telah memalukan serta merundumkan sokongan orang Melayu kepada PKR,” katanya kepada Harakahdaily.

Hari ini, ujarnya kenyataan daripada Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard telah memperkuatkan lagi dakwaan bahawa Rafizi telah menerima jutaan dana politik seperti yang telah didedahkan dalam Malaysiagazatte.com sebelum ini.

“Apa dah jadi kepada Rafizi? Nampaknya beliau telah menjadi ‘orang suruhan politik’. Kesilapan strategi beliau juga telah diambil kesempatan oleh Shamsul Iskandar sebagai Naib Presiden PKR yang telah membuat kenyataan bahawa PKR telah bersetuju mengangkat pandangan Ketua Umum PKR Anuar Ibrahim sebagai dasar parti yang telah memberi tamparan yang paling ‘down’, sekali gus memberi sokongan moral kepada cadangan usul persendirian Tuan Guru Presiden PAS.

“Persoalannya, adakah benar Rafizi akan mendapat bayaran jutaan dana politik daripada tindakkan beraninya yang membuat dakwaan fitnah tersebut? Berapa banyak yang beliau akan terima? Dan siapa taikun di belakang Politik Rafizi Ramli?” soalnya.

Justeru, katanya, Rafizi sudah tersilap langkah dan pimpinan PKR melepaskan diri apatah lagi tiada siapa lagi yang mahu ‘backup’ beliau.

Tegasnya, tindakan Rafizi sudah dianggap tindakan peribadi dan bukan lagi tindakan yang berdasarkan kepada dasar parti.

“Jadi siapakah sebenarnya beliau di dalam parti PKR? atau mungkin beliau sudah menjadi wakil taikun beliau yang menjana jutaan dana politik beliau?” katanya.

Sementara itu, bekas ahli PKR seumur hidup, Chegubard menyanggah penafian Rafizi Ramli berhubung isu dana kepada parti daripada seorang individu bernama John Soh dan mendedahkan jutawan itu sebenarnya penyumbang dana terbesar kepada parti pembangkang tersebut.

Chegubard mendesak supaya kepimpinan PKR terdahulu dan sedia ada menjelaskan adakah benar sejumlah RM26 juta wang daripada individu itu diberikan kepada parti. – HARAKAHDAILY 12/4/2017