Rafizi PKR terlalu bersangka buruk

SUDAH banyak kali rasanya kenyataan Tuan Guru Presiden PAS berkenaan sikap PAS yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Advertisement

Yang terbaru adalah perumpamaan dua ekor biawak iaitu salah satu darinya jauh lebih banyak penyakitnya kerana dijadikan ‘pusat pengumpulan sampah’ dari Umno dan PAS.

Tetapi Rafizi PKR sehingga ke saat ini masih tetap dengan sangkaan buruknya dalam soal Kerajaan Perpaduan PAS-Umno. Rakyat boleh saksikan sendiri kenyataan fitnahnya berkenaan drama dan sandiwara yang kononnya sedang berlaku di antara PAS dan Umno, di antara Najib dan Tuan Guru Presiden PAS ketika sesi pembentangan RUU 355 tempohari, walaupun kerjasama yang terjalin hanya berlaku di atas isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam semata-mata.

Kenapa Rafizi masih meragui Tuan Guru Presiden PAS? Malah mahu dihubungkaitkan dengan satu sumbangan dana RM90 juta 1MDB yang kononnya disalurkan daripada Umno kepada PAS.

Yang menjadi humornya adalah sikap terus percayanya dia ke atas posting provokasi Pesuruhjaya PAS Perak berkenaan komposisi kerusi dalam sebuah Kerajaan yang dipanggil Kerajaan Islam Nusantara tetapi sukar untuk menelan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS yang berulang kali menolak cadangan Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Sudah lupakah Rafizi bahawa Kerajaan Perpaduan dengan mana-mana parti tidak boleh berlaku tanpa restu perwakilan PAS, majlis syura serta ajk PAS pusat. Lebih-lebih lagi apabila MSU meletakkan tiga prinsip asas dalam mana-mana jalinan kerjasama dengan pihak ketiga iaitu Islam Memimpin, Islam Untung serta jalinan kerjasama atas dasar Islam semata-mata. Dan Umno tidak terkecuali dari keperluan untuk memenuhi syarat tahaluf siyasi itu.

Yang menariknya, Rafizi juga dilihat seolah-olah tidak suka dengan jalinan kerjasama yang berlaku di antara umat Islam walaupun berbeza fahaman politik. Walaupun kuasa politik Islam semakin jatuh merudum selepas PRU Ke-13 tempohari. Membuka ruang kepada golongan sekular, liberal dan plural untuk lebih berani mengkritik masyarakat Islam dan amalannya, beliau dilihat seolah-olah rela untuk terus bersengkongkol dengan DAP tanpa menghiraukan kesan buruk terhadap kedudukan kuasa politik Islam di negara ini.

Islam perlu dominan kerana Islam adalah penyelamat kepada seluruh alam. Adakah Rafizi tidak suka Islam jadi penyelamat kepada negara dan rakyatnya?

Semoga beliau berfikir dan bertaubat. – HARAKAHDAILY 12/4/2017