PAS alu-alukan siasatan terhadap tuduhan Rafizi

PAS mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap parti ekoran pendedahan Rafizi Ramli.

Advertisement

Bagi PAS, pendedahan Rafizi langsung tidak memberi sebarang kesan terhadap parti.

Pertama, Nasharuddin Mat Isa bukan lagi pimpinan parti dan sudah tiada kena mengena dengan parti. Bahkan beliau sudah tidak aktif di dalam parti sejak tewas bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada tahun 2011. PAS menegaskan bahawa ia tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada Nasaruddin Mat Isa.

Kedua, rakyat juga masih mengingati taktik fitnah yang digunakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara dan juga Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang berakhir dengan permohonan maaf di mahkamah kepada Tan Sri Khalid daripada pihak yang dituduhnya selepas beliau dijatuhkan.

Dengan kesedaran politik rakyat hari ini, PAS yakin pihak yang masih menggunakan taktik fitnah untuk membunuh lawan, bukan sahaja akan dicemuh malah akan ditolak pada pilihanraya akan datang.

Apakah pendedahan Rafizi sekadar mencari publisiti murahan atau sengaja mengalihkan perhatian yang dijana oleh RUU355 yang diterima majoriti rakyat beragama Islam, itu hanya beliau yang tahu.

Dakwaan Rafizi bahawa matlumat tuduhan yang dilakukan oleh beliau telah disalurkan oleh seorang bekas pegawai kanan SPRM juga menimbulkan seribu tanda tanya. Apapun, bagi PAS ia bukanlah urusan parti.

PAS mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa untuk membersihkan namanya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 April 2017 – HARAKAHDAILY 13/4/2017