PBB digesa perangi dasar apartheid Israel

SEMPENA hari peringatan tragedi pembunuhan warga Deir Yassin pada 9 April 1948  dan Hari Tanah Air Palestin pada 30 Mac 1979  (“Youm Al Ardh” – Land Day), kami mendesak PBB mengambil tindakan muktamad untuk mengheret Israel ke Mahkamah Antarabangsa kerana jenayah ke atas kemanusiaan.

Advertisement

Penerbitan Laporan terbaru berjudul “Amalan Israel Terhadap Warga Palestin dan Persoalan Dasar Aparteid” (Israeli Practices Towards the Palestinian People and the Question of Apartheid) oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat (ESCWA) telah mengesahkan tanpa ragu lagi bahawa Israel telah melakukan jenayah aparteid.

Aparteid adalah jenayah kedua selepas genocide dalam urutan jenayah ke atas kemanusiaan.

Sejak negara Zionis diujudkan diatas ideologi Zionis rasis, operasi mengusir warga Palestin dari tanah air mereka untuk menubuhkan negara Israel berterusan sehingga hari ini. Pemusnahan etnik (ethnic cleansing) menjadi senjata Israel untuk mencapai objektif kriminal ini.

Pada 20 Disember 1940, Yosef Oweitz, Pengarah Tanah dan Tabung Nasional Yahudi menulis:

“dalam kalangan kita, perlu jelas, bahawa tidak ada ruang hidup bersama antara Yahudi dan Arab…. apabila kaum Arab dapat dikeluarkan, tanah ini akan terbuka untuk kita…. tidak ada ruang kompromi…. membeli tanah tidak akan berjaya mengujudkan sebuah negara…. hanya satu cara sahaja iaitu memindahkan orang Arab ke negara jiran… jangan ada seorang suku kaum dan penduduk Arab yang terbaki… hanya dengan itu sahaja berjuta Yahudi dapat dimasukkan ke bumi Palestin…. tidak ada cara lain”

Pada 15 Mei 2017 adalah hari peringatan ke-61 tahun peristiwa Nakbah (Hari Malapetaka), apabila pada hari itu, tahun 1948,  Yahudi mengisytiharkan tertubuhnya negara Israel. Pada hari itu Yahudi Zionis melancarkan serangan ke atas bandar dan kampung, membunuh, memperkosa dan memaksa warga Palestin melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Sebelum itu, pada 9 April 1948, peristiwa Deir Yassin tercetus. Seramai 264 lelaki, wanita dan kanak-kanak disembelih oleh tentera Zionis.

Antara 1947 dan 1948, lebih 750,000 warga Palestin menjadi pelarian. Kini pelarian Palestin mencecah lebih 4 juta orang. Mereka dalam keadaan sengsara di kem-kem pelarian; tiada makanan, tiada air bersih, tiada perubatan dan tiada tempat tinggal. Mereka dinafikan hak untuk pulang walaupun hak itu disahkan oleh Persidangan Umum PBB yang menghasilkan Resolusi 194. Sementara itu pula, ratusan ribu Yahudi dari luar dibawa masuk ke bumi Palestin.

Sekitar 50 tahun yang lalu, pada 6 Jun 1967, Israel berperang dengan negara negara Arab dan berjaya menguasai Tebing Barat, Gaza dan Jurusalem Timur. Seramai 320,000 warga Palestine diusir dari bumi Palestin dan 300,000 Yahudi ditempatkan dalam kawasan Palestin.

Jurusalem Timur sebagai ibu negara Palestin, sedikit demi sedikit diambilalih oleh penduduk Yahudi. Pemindahan Yahudi, pembinaan dinding pemisah, pemusnahan rumah warga Palestin, menutup dan menyekat sebarang kewujudan Institusi Palestin, mengenakan diskriminasi yang menyekat sebarang pembangunan kota. Semua ini adalah agenda besar Zionis untuk meyahudikan seluruh Jurusalem Timur.

Lebih parah lagi ialah warga Palestin disekat daripada memasukki Masjid al Aqsa. Walhal masjid itu sedang diancam oleh projek Yahudi yang mengorek terowong dengan objektif meruntuhkannya bagi membina kuil Sulaiman. Jika agenda ini berjaya ia akan memberi kesan sangat berat kepada 1.5 bilion Muslimin seluruh dunia.

Sementara itu Gaza sedang dikenakan sekatan kejam oleh Israel, sejak lebih 10 tahun. Penduduk Gaza sengsara akibat sekatan ini, tanpa apa-apa usaha antarabangsa untuk menamatkan kezaliman Israel.

Inilah hiprokrasi Amerika dan Kesatuan Eropah. Sebarang usul dari Majlis Keselamatan PBB akan dihalang atau diveto oleh kuasa besar bagi melindungi Israel. Manakala pemimpin- pemimpin Arab pula bersekongkol dan menjadi boneka kepada kuasa Barat. Menamatkan dasar aparteid Israel ke atas Warga Palestin tergantung kepada keupayaan rakyat Palestin berdepan dengan diktator Arab.

Pada tahun 2005, gerakan sivil Palestin melancarkan kempen BDS iaitu Boycott, Diversement and Sanction. Ia adalah gerakan yang berkesan yang melibatkan pelbagai pihak dan warga Palestin. Kesannya telah menjejaskan Israel dan suatu undang-undang anti BDS untuk mengharamkan BDS cuba diujudkan oleh regim Israel.

Dengan itu kami menuntut agar seluruh warga dunia dan rakyat bangkit menyatakan sikap dan berdiri bersama dalam solidariti menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Kami mengesa:

1.Agensi agensi PBB, kerajaan negara-negara dan masyarakat sivil termasuk organisasi agama memperakui secara formal segala penemuan dalam laporan Aparteid Israel ini, bahawa apa yang dilakukan oleh Israel ke atas warga Palestin selama ini adalah jenayah aparteid.

2. Semua faktor yang disenaraikan diatas mengambil langkah yang perlu, sesuai dengan obligasi legal seperti yang diperuntukan dalam Konvensyen Aparteid. Jenayah Aparteid adalah termasuk dilarang dalam undang-undang customary antarabangsa. Oleh itu semua negara walaupun tidak menandatangan Konvensyen tersebut boleh mengambil langkah undang-undang terhadap Israel.

3. Kerajaan Malaysia perlu mengistiharkan sokongan dan perakuan khas terhadap laporan ESCWA ini dan mengesyorkan supaya semua negara anggota OIC melakukan tindakan yang sama.

4. Kerajaan Malaysia mengecam dasar aparteid Israel dan mengambil inisiatif untuk menjadikan ia suatu usul khas di Parlimen bagi melahirkan pernyataan yang jelas ke atas dasar aparteid Israel.

5. Menyeru seluruh masyarakat sivil di Malaysia bersatu melancarkan kempen BDS terhadap Israel secara berterusan. – HARAKAHDAILY 13/4/2017