RUU 355: Kemelut sengaja dicipta musuh Islam

APA makna “kemelut”? Berdasarkan semakan dengan Kamus Dewan Edisi Keempat “kemelut” adalah keadaan yang genting atau berbahaya.

Advertisement

Adakah RUU 355 mengundang bahaya hingga perlu ditentang sebegitu rupa?

Sebagai seorang Islam yang yakin dengan keadilan Islam, usaha memartabatkan Mahkamah Syariah perlu disokong oleh semua yang cintakan keadilan dan kedamaian. Undang-undang disediakan untuk menghukum orang yang bersalah, namun dalam Islam tujuannya ditambah lagi iaitu sebagai langkah mendidik supaya manusia beradab.

Amat malang apabila terdapat segelintir ilmuwan Islam yang memperkecilkan usaha memartabat perundangan Islam dengan beralasan bahawa penguatkuasaan perundangan jenayah Islam buat masa ini bertentangan dengan tujuan syariah (Maqasid Syariah) yang perlu didahulukan kerana suasana dalam negara yang belum mengizinkan (tidak kondusif). Selain dari itu mereka juga berhujah bahawa negara yang mengamalkan perundangan Islam masih mundur ekonominya dan mencatat kadar jenayah yang tinggi.

Jelas mereka ini tidak melakukan kajian ilmiah. Antara tujuan-tujuan Syariah (maqasid Syariah) ialah untuk memelihara agama, nyawa, keturunan, maruah diri (kehormatan) dan harta. Jelasnya tujuan pelaksanaan undang-undang syariah antaranya ialah mengurangkan jenayah.

Saya perturunkan disini antara indikator jenayah yang boleh digunapakai ialah bilangan banduan per 100,000 penduduk. Data ini boleh didapati dengan mudah diinternet. http://www.prisonstudies.org/.

“Antara” maknanya ada yang lain lagi. Saya hanya perturunkan satu di sini kerana masalah ruang.

Di tempat kedua tertinggi dalam senarai yang disiarkan ialah Amerika Syarikat dengan kadar 666 banduan bagi setiap 100,000 penduduk. Amerika Syarikat adalah negara maju, maju dari banyak segi, ketenteraan, pembangunan, ekonomi dan tamadun. Namun negara yang dianggap bertamadun ini masih mencatat kadar banduan yang tinggi berbanding negara-negara yang dianggap mundur. Ini adalah bilangan banduan, BUKAN bilangan penjenayah. Maknanya bilangan penjenayah tentu lebih ramai.

Thailand, sebuah negara anarki yang mengamalkan agama Buddha berada di tempat ke-12 dengan bilangan banduan seramai 424 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Finland di tangga ke-190 (57 banduan/100,000 penduduk) diikuti Sweden di tempat ke-192 dengan 53 banduan bagi setiap 100,000 penduduk. Finland dan Sweden dikatakan negara yang sistem pendidikannya cukup maju berada jauh mengatasi Pakistan dari sudut kadar banduan yang serba kekurangan.

Arab Saudi berada di tangga ke-96 dengan bilangan banduan seramai 161 bagi setiap 100,000 penduduk. Sudan di tangga ke-199 dengan bilangan  banduan seramai 50 bagi setiap 100,000 penduduk dan Pakistan di tangga 206 dengan bilangan  banduan seramai 43 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Saya ambil tiga negara ini kerana ketiga-tiganya melaksanakan perundangan Islam. Data ini dengan jelas menunjukkan bahawa negara yang mengamalkan perundangan Islam akan dibantu oleh Allah dalam bentuk pengurangan jenayah dengan tidak menafikan bahawa banyak lagi perlu dilakukan untuk memajukan negara mereka. Namun kondusif atau tidak kondusif bukan syarat untuk melaksanakan perundangan Islam.

Apa ukuran kondusif menurut mereka yang menentang pelaksanaan perundangan Islam? Mereka tidak pernah mendatangkan fakta kondusif. Yang disebut ialah “banyak lagi masalah lain seperti tekanan ekonomi, kemiskinan, rasuah dan lain-lain yang perlu diutamakan.”

Jika ekonomi menjadi ukuran, berikut adalah senarai kedudukan negara menurut kajian yang dilakukan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) dan disenaraikan dalam “Worldwide Cost of Living 2017 – A ranking of the world’s major cities”. Bandaraya New York (US) mendapat 100 mata dan diletakkan di tempat ke-9 teratas dalam kos hidup termahal.

Pakistan berada di tempat ke-130 (ke-4 paling bawah) dengan 44 mata. Maknanya kos hidup di negara yang dianggap maju jauh lebih mahal daripada hidup di Pakistan yang jauh lebih murah. Untuk mendapatkan 1kg roti di New York pengguna perlu belanjakan US$7.95 berbanding di Karachi yang hanya memerlukan US$1.69.

Ini hanya sebahagian kecil bukti. Banyak lagi bukti yang boleh dibawakan namun ia memerlukan ruang yang panjang untuk dibincangkan.

Jelas dan nyata bahawa apa juga alasan yang disebutkan, ia hanya sekadar alasan untuk menghalang perundangan Islam dilaksanakan. Kerana apa mereka tidak mahu dilaksanakan? Jawapan mudahnya ialah kerana mereka takut Islam menjadi agama pilihan apabila keadilan perundangan Islam dapat dibuktikan.

PROF. MADYA DR. MOHD FUAD MOHD SALLEH
Presiden Ilmuwan
13 April 2017. – HARAKAHDAILY 13/4/2017