Buat tatapan perwakilan ke Muktamar PAS ke-63

MULAI minggu yang bermula Isnin 10 April 2017, senarai penuh calon-calon ahli jawatankuasa kerja pusat, dan dewan-dewan untuk dipertandingkan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-63 telah dikeluarkan. Ketulusan parti dalam mendepani cabaran organisasi cukup jelas, apatah lagi senarai-senarai tersebut boleh saja dilihat oleh sesiapa saja.

Advertisement

Meskipun kita dilingkungi suasana ambang pilihan raya umum ketika ini, ia tidak sekali-kali membataskan pendirian parti untuk terus memperkukuh organisasi melalui pemilihan kepimpinan. Apa yang perlu digusar? Adanya PAS dalam medan siasah bukan sekadar untuk menang pilihan raya dan berpolitik semata-mata.

Para pendukung PAS telah diberi kefahaman betapa keberadaan mereka di mana-mana bahagian organisasi parti bukanlah untuk kepentingan diri. Adanya kita di mana-mana bahagian parti adalah untuk berusaha menyerlahkan Islam melalui medan siasah agar rahmatnya dapat dirasai semua insan. Justeru, pemilihan hanyalah sebagai usaha para pendukung untuk meletakkan mereka yang terbaik bagi memimpin organisasi dari semasa ke semasa.

Buat kalian yang akan melangkah ke dewan muktamar sebagai perwakilan, agenda berkebajikan yang sedang diterajui parti haruslah terus diperkasa oleh seluruh jentera dan pendukung parti. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS hanyalah entiti yang dipertanggungjawab untuk terus memastikan agenda ini terus diberi penumpuan khusus. Di tangan kitalah penentu akan bangun atau jatuh agenda yang ditentukan.

Antara langkah yang sedang dilaksanakan yang harus diberi perhatian para perwakilan termasuklah program bagi menjaga kepentingan ahli sebagai jentera dan pendukung utama. Ia  adalah antara skop tugas yang diberi penumpuan melalui LKKP.

Setiap ahli adalah nadi kepada parti. Apatah lagi bila ia terlibat langsung sebagai pendukung. Antara program pemerkasaan ahli sebagai jentera parti termasuklah program pembangunan murabitun dan penganjuran Skim Kifalah Ahli-ahli PAS atau Skimpas.

Melalui program pembangunan murabitun, hasrat kepimpinan adalah memastikan sedaya mampu kebajikan dan kepentingan para petugas parti sama ada sepenuh masa mahupun separuh masa sentiasa terpelihara. Begitu juga melalui program Skimpas, ia dirangka bagi meringankan bebanan ahli atau para waris pada waktu-waktu sukar.

Tanggungjawab ahli dan pendukung parti kepada parti adalah memberi apa jua dalam kemampuan bagi memastikan gerak kerja mendaulatkan Islam berjalan lancar. Peranan tersebut telah tersedia dimaklumi dan dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh sekalian pendukung. Di pihak organisasi pula, program-program di atas dirangka bagi meletakkan kepentingan ahli sebagai pendukung dan jentera parti sentiasa dilindungi dan dipelihara.

Melalui hubungan dua hala inilah, PAS harus dipacu sebagai gerakan Islam yang sedia terkehadapan bagi memimpin ummah pada posisi pembangkang mahupun sebagai pemerintah sebaik tiba waktunya. – HARAKAHDAILY 14/4/2017