Israk mikraj: Bukti kekuasaan Allah

APA yang terpenting dari peristiwa Israk dan Mikraj adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW. Diperlihatkan kebesaran kerajaan Allah SWT supaya baginda sedar bahawa tugas kerasulannya kepada seluruh umat hingga ke hari kiamat, adalah terlalu kecil jika dibanding dengan kekuasaan Allah SWT.

Advertisement

Segala kuasa yang menentang Islam, termasuk kuasa besar yang ada pada hari ini, ibarat habuk yang halus sahaja di sisi kuasa Allah SWT.

Kita menyaksikan, selepas kejatuhan Soviet Union, ratusan juta umat Islam diserang, ditindas, dibelasah, dijajah, diseksa, dan dibunuh oleh penjajah Timur dan Barat. Penjajah Barat ialah negara-negara Kapitalis, negara Eropah, negara Kristian. Timur pula adalah negara Komunisme. Negara umat Islam dipecah-pecahkan, dibahagi-bahagikan antara kuasa-kuasa besar. Umat Islam dihancur leburkan.

Namun, kita juga menyaksikan cahaya Islam tidak padam. Agama ini bukan sahaja tidak berjaya disekat, malah ia terus berkembang dan berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Dalam keadaan umat Islam begitu lemah ini, Allah menunjukkan kekuasaan-Nya yang Maha Besar.

Di Amerika, dalam ratusan juta rakyatnya, puluhan juta daripadanya telah memeluk Islam. Di India, dalam bilion rakyatnya, ratusan juta memeluk Islam. Di China, ratusan juta umat Islam. Di Rusia, jutaan daripadanya adalah muslim.

Allah menunjukkan, di negara-negara yang menjadi pusat untuk menentang Islam, rakyat mereka memeluk Islam dalam jumlah yang besar. Ini kekuasaan Allah yang boleh kita lihat pada hari ini.

Inilah antara bukti dari Israk dan Mikraj. Untuk menghiburkan hati Nabi SAW supaya tidak merasa lemah dan takut. Dan Nabi pernah menegaskan bahawa Allah akan pasti akan menyempurnakan urusan menyebarkan ajaran Islam ini. Nabi juga pernah menyatakan bahawa Islam akan sampai di mana sahaja sampainya siang dan malam.

Oleh itu kita bersama Islam ini, jangan rasa takut dan hina. Walaupun umat Islam dalam keadaan lemah, jangan sekali-kali merasa takut dan lemah. Kerana agama kita adalah agama Allah.

Sebab ramai orang Islam sekarang merasa hina, merasa takut nak mengaku Islam. Takut nak mengamalkan Islam. Merasa rendah diri dengan Islam.

Sebagai seorang Islam kita hendaklah sedar, kita adalah mulia di sisi Allah SWT. – HARAKAHDAILY 14/4/2017

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 17 Rejab 1438 14 April 2017 di susun oleh Alang Ibn Shukrimun.