PAS tak terkejut langsung dakwaan Rafizi

DAKWAAN Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya ada pemimpin yang rapat dengan PAS menerima dana 1MDB langsung tidak mengejutkan PAS.

Advertisement

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kenyataan yang dibuat oleh Rafizi itu bukanlah berita yang mengejutkan.

Menurutnya, secara peribadi kenyataan pemimpin PKR itu lebih bersifat fitnah terhadap PAS dengan mengaitkan nama bekas Timbalan Presiden PAS.

Ini kerana, kata beliau bahawa Nasharudin Mat Isa telah lama tidak bersama PAS sejak tahun 2011 selepas kalah dalam pemilihan muktamar parti.

“Musuh memang kerja dia. Sebab itu, bila Rafizi membuat kenyataan kononnya ada pemimpin PAS, pemimpin yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB dan yang dimaksudkan itu ialah Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS.

“Wartawan telefon saya banyak nak minta komen. Saya kata, saya tak terkejut langsung. Berita ini bukan berita yang mengejutkan tapi berita tak ada benda yang nak terkejut.

“Nasharudin Mat Isa sudah tidak bersama dengan PAS sejak tahun 2011 selepas kalah pemilihan, tak pernah hadir dalam program bersama dengan PAS.

“Dia ini dilantik untuk mengetuai satu GLC, satu syarikat Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang ‘direct’ bawah Perdana Menteri.

“Itu urusan dia, tak ada kena-mengena dengan PAS pun dan PAS tidak pernah mendapat apa-apa sumbangan daripada beliau. Sebab itu, jika ada kes urusan dengan dialah,” jelasnya dalam Ceramah Gema PRU14 di Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low telah membuat kenyataan setakat hari ini, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang bukti mengait PAS dengan dana RM90 juta.

“Orang tuduh takkan kita percaya terus dengan orang tuduh. Memang kerja orang kaki fitnah ini, kerja dia begitu.

“Apa yang pelik sekarang ini. Saya duduk dalam Jawatankuasa PAS Pusat, orang lantik Timbalan Presiden. Mesyuarat PAS Pusat saya hadir, Mesyuarat Harian PAS Pusat saya hadir, Mesyuarat Syura Ulamak pun saya terlibat, Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat pun saya terlibat. Semua mesyuarat parti saya terlibat.  

“Kalau ada parti terima dana daripada luar saya mesti tahu. Tapi yang peliknya, kita yang masuk mesyuarat, beritahu orang, orang tak percaya kita yang masuk mesyuarat dan orang yang tak masuk mesyuarat itu orang percaya. Tidakkah itu ‘bengong’.

“Orang yang tak masuk mesyuarat orang percaya, kita yang masuk mesyuarat orang tak percaya. Inilah zaman fitnah,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS tidak terjejas dengan tuduhan fitnah seumpama itu dan akan meneruskan perjuangan Islam sehingga Islam didaulatkan. – HARAKAHDAILY 14/4/2017