Rafizi PKR gagal dedahkan

PAGI semalam, sebelum pendedahan Rafizi di sebelah tengaharinya, saya ada menulis berkenaan empat aspek yang wajib diambil Rafizi sebagai bukti bahawa beliau tidak dijangkiti juga dengan racun bayangan fatamorgana UG PAS-Umno, antaranya ialah:

Advertisement

1. Pendedahan nama dua pihak yang dituduh.
2. Bukti transaksi aliran dana antara penyumbang dana 1MDB itu termasuk transaksi aliran dana di antara dua individu itu.
3. Bukti dana RM90 juta itu betul-betul daripada dana 1MDB.
4. Bukti dana RM90 juta daripada 1MDB itu telah mempengaruhi keputusan pemimpin PAS Pusat berkenaan RUU 355. Kerana tuduhan pemimpin yang berkenaan melalui dedak RM90 juta itu dibuat atas rasa tidak puas hatinya mereka terhadap sesi pembentangan RUU 355 tempohari.

Setelah meneliti rakaman selama 26 minit berkenaan tuduhan itu, boleh saya simpulkan:

1. Nama individu ke-2 iaitu tokoh PAS yang kononnya menerima dana dari Ustaz Nasha tidak disebut.
2. Bukti konon wujudnya transaksi aliran dana khususnya di antara Ustaz Nasha ke tokoh PAS yang berkenaan juga tidak disebut malah bukti dokumentasi juga tidak didedahkan.
3. Tiada bukti juga dilampirkan bahawa dana yang dimaksudkan betul-betul dari 1MDB, hanya ‘hearsay’ atau percakapan dari ‘pembekal maklumat’ kepada Rafizi.
4. Tiada bukti juga yang dilampirkan bahawa pemimpin PAS Pusat khususnya Tuan Guru Presiden PAS telah dipengaruhi oleh Ustaz Nasha, Umno atau mana-mana pihak ke-3 dalam usaha PAS untuk memperkasakan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355.

Oleh sebab itu, boleh saya simpulkan dengan adil dan saksama bahawa pendedahan Rafizi selaku Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan semalam hanyalah sebuah persepsi dan andaian berdasarkan ‘hearsay’ tanpa disertakan bukti kukuh seperti yang kita harapkan.

Apakah bezanya tuduhan beliau dengan tuduhan Sarawak Report dan segelintir bekas pemimpin PAS yang pernah menggunakan isu yang sama sebelum ini?

Selama hampir sedekad PAS difitnah dengan isu ini dan  kerana isu ini jugalah pakatan pembangkang berpecah sehingga dijadikan tongkat oleh Umno/BN untuk terus kekal berkuasa.

Ikhlaskah mereka yang menggunakan isu ini untuk tumbangkan Umno/BN agaknya?

Yang pasti, virus bayangan fatamorgana Kerajaan Perpaduan PAS-Umno yang digunapakai untuk menjatuhkan PAS juga meranapkan keakraban gabungan pakatan pembangkang satu ketika dahulu melalui PAKATAN RAKYAT.

‘Tahniah’ diucapkan kepada mereka yang menghulurkan tongkat kepada Umno/BN.

Yakinlah bahawa Rakyat akan pasti menghukum mereka yang khianat melalui isu ini di PRU Ke-14 nanti.

Sama-sama kita saksikan. – HARAKAHDAILY 14/4/2017