Betulkah Malaysia darul rasuah?

SEJAK beberapa bulan belakangan ini terutama selepas ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kasim bersara, bersambung-sambung SPRM memohon mahkamah mereman orang-orang yang disuspek rasuah.
       
Ia melibatkan orang daripada pelbagai latar belakang tapi ramainya penjawat awam antaranya yang kanan-kanan. Orang politik yang umumnya tidak dipastikan yang mana satu yang bersih, baru seorang yang dipegang iaitu Exco Johor.
      
Cekupan itu boleh dikatakan tiap-tiap bulan. Payah ada bulan yang tiada cekupan.
      
Ada yang dicekup bersama anak dan  ada yang bersama isteri.
      
Selama ini yang ditular negara kita ini adalah sebuah negara dan masyarakat rasuah. Sejak zaman beberapa Perdana Menteri lagi Malaysia sudah ditularkan dunia rasuah, tetapi kalau ada tindakan setahun satu dan paling banyak dua setahun.
      
Hingga ada yang bertanya darul apa hendak diberi kepada Malaysia. Setiap negeri ada darulnya seperti Darul Makmur bagi Pahang dan Darul Ridhuan bagi Perak. Sejak zaman British lagi setiap negeri memakai status itu sebagai menggambarkan ia wilayah Islam.
      
Bila Darul itu dihidupkan semula maka bertanyalah oang apa darul bagi Malaysia. Secara sinis orang berkata spontan Darul Rasuah (Rasyuah) sebagai satu ingatan dan kritik kepada klik pemerintah betapa berkembang pesat penyakit sosial di samping pesatnya program pembangunan.
       
Sejak sebelum merdeka rasuah itu budaya bagi negara-negara jiran. British yang banyak mengaut hasil mahsul dipunggah ke negaranya menjadikan Malaya tidak dijangkiti wabak itu.
      
Lepas merdeka virus itu menyerap hingga wabak itu seolah budaya bagi serantau dunia sebelah sini.
       
Tetapi ia tidak dibukti oleh penguasa mungkin untuk menyatakan kepada dunia Malaysia tiada kuman itu. Jika ada tindakan rasuah ialah lebih bertujuan politik daripada jenayah itu sendiri seperti yang dikenakan kepada Menteri Besar Datuk Harun Idris di Selangor dan DS Anwar Ibrahim. Datuk Harun dikira ancaman kepada pimpinan. Dia dipenjara.
     
DS Anwar, kes rasuahnya bukan menggelapkan khazanah negara, tapi dikatakan menghalang pegawai kerajaan menjalankan tugas.
      
Dengan tiadanya tindakan terhadap rasuah, maka Malaysia dipersepsikan bebas rasuah sekalipun persepsi ia rasuah adalah kencang.
      
Betapa rasuah itu sudah menyucuk mata, Raja pun dikatakan hendak dirasuah. Ada Raja mendedahkan baginda cuba rasuah. Diserahkannya untuk tindakan SPRM. Itu raja yang berwibawa.  Bahkan tembok-tembok istana mulai rapuh oleh perkasanya anai-anai itu.
       
Justeru  tiada yang percaya ia tidak negara rasuah, tindakan memerangi  rasuah sudah payah dihalang. Maka sekarang SPRM dapat visa bertindak. Ia pun bertindak sekadar yang ia kuasa. Maka tiap minggu ada cekupan dan dikirim ke mahkaman bagi direman.
      
Bila lebat sangat orang dicekup, ia menggambarkan penyakit itu banyak dan mudah dicekup.
      
Jerung politik belum diperangkap. Satu yang kena di Johor itu tidaklah jerung sangat – jerung kecil.
      
Setakat ini SPRM baru ada visa menahan dan merujuknya ke mahkamah. Bicara belum ada. Yang direman dibebaskan dengan ikat jamin besar. Selagi belum bicara dan belum ada yang dihukum, belumlah dikira kita sudah betul-betul memeranginya.
      
Dalam sistem kita sekarang, sudah dijatuhkan hukum pun belum pasti hukuman dijalankan. Yang mahkamah putuskan hukuman mati seperti kes Altantuya, ada yang sempat lari dan yang  tak lari belum diketahui hukuman berjalan. Takut yang menghukum mati dulu dari yang dikenakan hukuman mati.
      
Selagi yang dicekup tidak dibuktikan dihukum, perang terhadap rasuah baru peringkat awal. – HARAKAHDAILY 16/4/2017

Advertisement