DBKL digesa atasi banjir kilat, hakisan tanah

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dengan tegas menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja-kerja pembaikan untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur. Intensiti hujan yang tinggi akhir-akhir ini telah menyebabkan beberapa lokasi berlaku banjir kilat. Contohnya, pada 14 Mac yang lalu, sembilan buah jalan utama di Kuala Lumpur telah dinaiki air dan ia telah menjejaskan kelancaran trafik serta mengundang bahaya sekiranya tidak diatasi dengan segera.

Advertisement

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sejak tahun 2015, DBKL telah menerima peruntukan sebanyak RM600 juta untuk projek-projek pembaikan dan menaik taraf. Walaupun begitu, situasi semasa menunjukkan keadaan tidak bertambah baik. Hal ini menimbulkan keraguan mengenai peruntukan dan projek yang telah dilakukan sebelum ini. Selain banjir kilat di lokasi-lokasi tertentu, pihak DPPWP turut mendapati banyak jalan utama di Kuala Lumpur menghadapi masalah takungan air yang agak serius akibat hujan lebat. Perkara ini sangat merbahaya bagi pengguna-pengguna jalan raya.

Rakyat di Kuala Lumpur juga bimbang hujan lebat yang kerap turun akan menjejaskan kawasan-kawasan cerun di sekitar Kuala Lumpur. Berdasarkan kepada Kuala Lumpur Slope Information System (KuLSIS), bandaraya ini mempunyai lebih 1,700 kawasan cerun berisiko runtuh. Sebanyak 600 daripadanya adalah sangat berisiko tinggi. Sekiranya tiada tindakan agresif dan proaktif dilakukan oleh pihak DBKL, kawasan-kawasan di Segambut, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak akan berhadapan risiko tanah runtuh yang kritikal.

DBKL juga harus sedar, banyak projek pembangunan khususnya infrastruktur sedang dilakukan di lokasi-lokasi utama. Hakisan-hakisan tanah daripada projek tersebut akan memburukkan lagi keadaan. DPPWP mengulangi ketegasan supaya pihak DBKL dan juga Kementerian Wilayah serta kontraktor-kontraktor yang dilantik segera mengambil tanggungjawab sebelum kecelakaan jiwa dan harta benda berlaku.

Mohd Farkhan Md Zain
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
20 Rejab 1438  | 17 April 2017 – HARAKAHDAILY 17/4/2017