LATAS sambut Hari Bumi 22 April

MENJELANG 22 April ini, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ingin menyeru seluruh Rakyat Malaysia untuk sama-sama menyambut Hari Bumi atau ‘Earth Day’ yang disambut di seluruh dunia sebagai tanda sokongan kita kepada pemuliharaan alam sekitar di negara ini.

Advertisement

Sebagai tanda sokongan kepada tema Hari Bumi pada tahun ini iaitu ‘Celik Alam Sekitar dan Cuaca’, LATAS ingin mengambil peluang dan kesempatan ini untuk berkongsi masalah perubahan cuaca dunia dan kesan secara langsung kepada Rakyat dan generasi seterusnya di negara ini.

Untuk makluman semua, suhu dunia telah meningkat sebanyak 1.7 Fahrenheit semenjak tahun 1880.

suhu

Perbandingan Suhu Dunia semenjak tahun 1883 dan 2015 seperti di bawah (biru menandakan kawasan yang sejuk dan oren/merah menandakan kawasan yang panas)

suhu2

suhu3

Antara penyumbang dan kesan daripada pemanasan global ini adalah:
1.Peningkatan pelepasan gas Karbon Dioksida (CO2) sebanyak 150 kali ganda pada hari ini (33 ribu tan metrik) jika dibandingkan pada tahun 1850 (198 tan metrik) atau 280ppm ke 400ppm.

2.Penerokaan tanah untuk pertanian, industri serta aktiviti manusia (lebih 95% penyumbang kepada pemanasan global adalah akibat aktiviti manusia).

3.Perubahan cuaca. Peningkatan suhu global sebanyak 1.7 Fahrenheit semenjak 1 abad yang lalu. Dijangka suhu global akan meningkat dari 2.5 ke 10 Fahrenheit di abad yang seterusnya.

4.Glasier dan ais mencair khususnya di Artik iaitu kadar pengurangan sebanyak 13.3% setiap 10 tahun. Kehilangan 118 gigatan ais setiap tahun semenjak 2002 di Antartika manakala kehilangan 281 gigatan ais setiap tahun di Greenland.

5.Peningkatan paras air laut (1 hingga 4 kaki menjelang tahun 2100 pada kadar 3.4mm setiap tahun).

6.Kemarau dan gelombang haba.

7.Peningkatan kekerapan banjir kilat dan kebakaran hutan.

8.Ribut Taufan semakin kuat dan kerap (kategori 4 dan 5 khususnya).

9.Kesan pada ekosistem dan pertanian.

Oleh sebab keadaan yang semakin mendesak, LATAS ingin merayu kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri agar dapat menjadikan subjek Alam Sekitar sebagai subjek utama dari peringkat pra-sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi sebagai langkah awal melalui sistem pendidikan yang sedia ada  untuk membentuk satu generasi yang betul-betul mencintai alam sekitar.

Sebagai langkah awal dalam membentuk satu generasi yang cintakan alam sekitar, LATAS bersama-sama Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil langkah pertama dalam merangka satu pelan tindakan untuk menubuh dan menggerakkan Kelab Rakan Alam di setiap sekolah di negeri itu. Semoga usaha murni ini akan dapat melahirkan aktivis alam sekitar yang lebih ramai untuk menyokong dan membantu usaha pemuliharaan alam sekitar oleh kerajaan negeri di negeri itu. – HARAKAHDAILY 17/4/2017

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS))