PPMM desak ambil tindakan terhadap Rafizi

PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak agar suatu tindakan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menurut Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Advertisement

Demikian dinyatakan Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataan akhbar hari ini, sebagaimana di bawah.

Kenyataan akhbar ini adalah lanjutan daripada kenyataan-kenyataan akhbar yang telah dibuat oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sebelum daripada ini berkaitan dengan kenyataan YB Rafizi Ramli yang dilaporkan sebagai mendakwa  antara lain bahawa jika Akta 355 dipinda ramai hakim mahkamah syariah akan menerima rasuah dan hakim mahkamah syariah lebih ramai ditangkap dan ditahan kerana rasuah berbanding hakim mahkamah sivil.
 
PPMM sangat kesal dengan kenyataan Rafizi tersebut yang tidak berasas dan tiada statistik yang dikeluarkan bagi menyokong dakwaan beliau.  PPMM berpandangan kenyataan Rafizi itu juga telah menimbulkan fitnah, keraguan dan memperkecil malah menghina mahkamah syariah di Malaysia. Memandangkan sebahagian besar ahli PPMM juga adalah peguam syarie makluman mengenai sebarang pendakwaan dan sabitan kesalahan hakim syariah adalah di dalam pengetahuan PPMM.
 
Oleh kerana tiada sebarang reaksi balas oleh Rafizi walaupun kedua-dua pertubuhan di atas telah mengeluarkan kenyataan mereka, PPMM mendesak agar Penguatkuasa Agama mengambil tindakan menurut Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan dimajukan kepada Ketua Pendakwa Syarie agar suatu tindakan di bawah seksyen 210  akta yang sama Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah untuk diambil terhadap Rafizi. Begitu juga bagi semua negeri-negeri lain yang mana dakwaan Rafizi ini terpalit kepada semua mahkamah syariah negeri-negeri.
 
Rafizi mesti bertanggungjawab terhadap apa yang diucapkannya semasa sidang Parlimen olok-olok tersebut. Walaupun ia sidang olok-olok tetapi kenyataan yang dibuat tidak wajar bersifat olok-olok juga kerana ia sangat memberi kesan kepada kedudukan mahkamah syariah di mata awam.
 
Seksyen 210 di atas memperuntukkan bahawa Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa menghukum mana-mana orang yang melakukan suatu penghinaan Mahkamah dengan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit. Seksyen yang sama juga terdapat di dalam Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah di semua negeri lain.
 
PPMM juga mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan agar isu-isu agama tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak apatah lagi dipermainkan. Orang Islam hendaklah bersatu suara di dalam isu-isu agama Islam dan tidak dihambat oleh kepentingan politik semata-mata.
 
Umat Islam arusperdana sudah jelak dengan sikap pihak-pihak tertentu yang tidak sudah-sudah mahu mempolitikkan kepentingan masing-masing walaupun di dalam isu agama. – HARAKAHDAILY 17/4/2017