Catatan Pra Muktamar 63 (3)

SELAIN memberi fokus kepada kepentingan dan kesejahteraan ahli dan para pendokong parti, agenda berkebajikan tentu sekali turut memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat. Apa yang ingin diketengahkan dalam agenda berkebajikan ini adalah kehidupan lestari yang berasaskan dari sumber Islam iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak dan kias.

Advertisement

Bagi menjadikan pemerkasaan agenda kesejahteraan rakyat ini bukan omongan kosong, melalui Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Pusat, unit-unit berkaitan kemasyarakatan diwujudkan.

Antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuklah penubuhan Pusat Aduan Sosial, Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Skuad Prihatin dan Unit Kajian Dasar dan Perundangan yang berkaitan.

Pusat Aduan Sosial yang telah dilancarkan oleh Presiden PAS pada Disember 2015 bertindak sebagai pemudahcara kepada rakyat yang memerlukan. Pusat ini saban waktu menerima kunjungan dari rakyat pelbagai lapisan untuk mereka mengemukakan pelbagai persoalan untuk perhatian.

Begitu pula Sekretariat Prihatin OKU Malaysia adalah entiti yang diwujudkan bagi mengenengahkan isu-isu berkaitan OKU yang bilangannya diunjurkan 15% dari keseluruhan rakyat. Sekretariat ini adalah pelengkap kepada badan-badan bukan kerajaan yang sedia ada. Kami tidak menumpukan tugas-tugas yang telah dilaksanakan. Lebih dari itu, Sekretariat ini membantu parti bagi mengenengahkan isu-isu berkaitan OKU sekaligus mengemukakan cadangan penyelesaian.

Memperkasa aktiviti kesukarelawan kami tampilkan melalui kewujudan Skuad Prihatin. Entiti yang tidak berorientasikan politik ini sengaja kami jelmakan bagi menyuburkan aktiviti kesukarelawan di kalangan rakyat pelbagai peringkat.

Demikian pula dalam memastikan agenda yang dirangka terus sesuai dengan perundangan dan peraturan semasa yang berkuatkuasa, unit kajian dasar dan perundangan dibentuk sebagai unit khas dalam lajnah. Tumpuan kepada kelompok yang mudah tersisih seperti OKU, warga emas, kanak-kanak dan wanita antara tumpuan yang diberikan.

Apa yang boleh kami tampilkan adalah kesiapsiagaan parti membawa perubahan sebaik dianugerahi pemerintahan adalah pada tahap yang baik. Kesiapsiagaan di peringkat pusat inilah perlu dihadami oleh para perwakilan untuk melangkah yakin ke dewan muktamar kelak. – HARAKAHDAILY 18/4/2017