Islam hanya pada nama

MUNGKIN di antara kita, telah mengenali Islam selama 20 tahun, 30 tahun atau bahkan 80 tahun. Alangkah beruntungnya manusia jika dilahirkan dalam keluarga Islam. Ini kerana Islam adalah nikmat yang paling besar diantara nikmat-nikmat lain dan merupakan agama pilihan Allah bagi kita. Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 132 yang bermaksud: “Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaacob. (Ibrahim berkata): Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagi kalian, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam”. Lihat, betapa bertuahnya kita apabila menjadi insan terpilih oleh Tuhan sekelian alam untuk merasai nikmat ini.

Advertisement

Namun fenomena hari ini, ada segelintir manusia yang tidak endah akan nikmat besar ini. Mereka hanya mengenali Islam kerana kedua orang tua adalah Muslim. Sehinggakan Islam yang mereka praktiskan seharian hanya mengikuti agama ibu bapa. Bagaikan Islam itu hanyalah sandaran pada nama sahaja.  Seolah-olah tidak terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat besar ini.

Golongan ini sudah tidak mementingkan Islam dalam kehidupan seharian mereka. Perkara ini dapat dilihat dari cara pemakaian, cara pergaulan antara lelaki dan wanita, gaya hidup dan pelbagai aspek lain yang langsung tidak menampakkan Islam sebagai pegangan dan panduan hidup.

Mungkin inilah yang dikatakan sebagai dunia akhir zaman. Di mana Islam hanyalah sandaran pada nama semata-mata. Islam tidak lagi dititikberatkan dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Benarlah sabda Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib R.A berkata: “Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa sudah hampir tiba suatu masa dimana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada dibawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Jika diperhatikan, keadaan hari ini tidak jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Baginda S.A.W. Al-Quran hanya tinggal tulisan. Ya, Al-Quran hari ini hanya dijadikan perhiasan yang tersusun rapi di atas rak-rak mewah manusia. Helaian-helaiannya tidak lagi dibelek, apatah lagi difahami setiap kalimah yang tercetak di dalamnya. Masjid-masjid pula berdiri gah dengan ukiran mewah namun sunyi tiada penghuni. Umat Islam sekarang sedang leka dibuai mimpi, sedang sibuk mencipta nama. Islam yang sedari kecil dikurniakan oleh Allah, dibiarkan sepi hanya pada nama tanpa mempraktiskan panduan dan suruhannya.

Ketahuilah bahawa Islam yang diberikan kepada kita ini sangatlah mahal dan berharga. Sama-samalah kita berusaha untuk menghidupkan Islam yang sebenar-benarnya didalam hati kita dan mengamalkan dalam kehidupan seharian. Seharusnya kita sebagai Muslim, berkelakuan mengikut panduan yang sudah tersedia ada dan tidak membiarkan Islam itu tertera pada kad pengenalan sahaja.

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.