16 pesan BPMS buat para mujahid siber

SAMA ada yang rasmi atau tidak, terlantik mahupun sukarela, saya dedikasikan pesanan ini buat semua yang berkhidmat membantu PAS di ruang siber.

Advertisement

Ringkas sahaja, melihat kepada senario semasa. Mungkin banyak lagi yang belum disebutkan sebagai garis panduan. Moga-moga ia dapat membantu meningkatkan kualiti kita semua.

1. UTAMAKAN MENERANG DARI MENYERANG
Agenda utama PAS berpolitik adalah untuk membawa Islam. Justeru kita mempunyai bahan tersendiri untuk dipersembahkan kepada rakyat. Sikap terlalu menyerang seteru politik akan menyebabkan orang tidak jelas apa motif dan isi perjuangan kita.

Gelaran cybertroopers atau mujahid siber menyebabkan kita kadang terkeliru peranan asal di medan media. Perkataan troopers dan mujahid itu membuatkan kita lebih suka menyerang. Jika tak menyerang maka seolah-olah kita tidak menjalankan kerja yang sepatutnya.

BPMS, Dokumen Hijau, Blok ketiga, kerajaan teknokrat, RUU355, dan banyak lagi agenda-agenda kita yang perlu diperjelaskan. Biarlah perbezaan menerang kepada menyerang dalam nisbah 75:25 atau 80:20 sahaja.

2. PULANGKAN PAKU BUAH KERAS
Dalam menggunakan pendekatan menyerang pula, biarlah kita melebihkan serangan dari membela atau menjawab sesuatu tuduhan ke atas PAS. Kerana menjawab atau membela meletakkan kita dalam posisi bertahan. Ia bukanlah posisi yang baik jika mahu menang dalam pertempuran. Maka perlu amalkan falsafah “menyerang adalah bentuk pertahanan terbaik”.

Maksudnya, jika PAS dituduh salah, alih peluru itu kepada si penuduh. Jika PAS dituduh UG, selain dari menafi, lebih baik buktikan tahap UG mereka pula. Seperti yang dibuat dalam kenyataan media terbaru Setiausaha Agung PAS. Rafizi menuduh PAS menerima 1MDB. Bukan setakat menafikan, malah beliau memulangkan peluru Rafizi dengan isu pendedahan duit dari John Soh.

Bukan bermakna tidak perlu menjawab atau membela langsung, tapi respon dengan lebih bijak. Lebihkan menyerang dalam nisbah 70:30.

3. MENYERANG DENGAN FAKTA, BUKAN AUTA ATAU NISTA
Jika mahu menyerang, gunakan fakta yang betul. Jangan buat tuduhan dari sumber separuh masak. Apatah lagi mereka-reka perkara yang tiada. Biarkan orang guna cara ini. Kita perlu berada atas garis Islam.

Jika mahu sentuh isu 1MDB, petik sahaja kenyataan pimpinan atau sebut sebagaimana apa yang media mainstream dedahkan. Begitu juga kalau mahu sentuh Banglo Lim Guan Eng, jawab kenyataan mereka seperti murah sebab tiada kolam renang, murah sebab feng shui tak baik. Jangan terus kata mereka perasuah selagi belum dibuktikan.

4. KAYAKAN BAHASA, USAH MENCERCA
Jangan juga menyerang dengan kata-kata kesat walaupun faktanya tepat. Mencarut, memaki hamun hanya menjauhkan orang dari kita. Orang mudah tolak fakta kita kerana bahasa yang diguna. Orang kita jiwanya lembut. Mudah simpati.

Bukan tidak boleh beruslub keras dan tegas, tapi laras bahasa perlu dicermati. Gaya bahasa al-Quran sangat baik untuk digunakan. Peribahasa atau kiasan melayu juga baik untuk dipersembahkan.

5. BELAJAR MERUJUK, TAK PERLU GELOJOH
Jika tidak pasti tentang sesuatu berita, amalkan tabayyun. Rujuk kepada pimpinan yang sepatutnya. Dapatkan sumber yang sahih.

Bina hubungan dengan mana-mana pimpinan agar maklumat yang diperolehi sentiasa selari dengan perspektif parti. Elakkan menjawab dengan andaian sendiri. Bimbang terpesong dari realiti.

6. JANGAN SENTUH PERIBADI
Setiap manusia tidak akan lari dari kekurangan dan kesilapan. Orang ada silap, kita juga ada silap. Tiada manusia yang dicipta sempurna Tetapi kita bukan menentang mana-mana parti kerana peribadi, atau individu mereka. Sebaliknya kerana dasar, tindakan dan pendirian mereka yang melibatkan kepentingan umum. Aib peribadi, bentuk fizikal dan tahap pencapaian usahlah disentuh.
Boleh kritik salah laku Najib dalam pentadbirannya. Tapi janganlah kaitkan dengan kepala botak, suka korek hidung atau tak lulus spm. Budaya melakar karikatur menghina fizikal juga usah diamalkan.

7. BUDAYAKAN DIAM
Bukan semua perkara kita wajib berkata, dan segera berkata. Ambil masa untuk selidik dan perhati. Jangan terburu-buru untuk menulis setiap yang terlintas.

Islam mengajar diam jika kita tidak mampu berkata-kata perkara yang memberi kebaikan. Ketahuilah diam itu adalah lambang kebijaksanaan.

Selain diam, amalkan juga tulisan yang ringkas dan padat. Letak satu posting dan abaikan komen. Komen satu kemudian biarkan ia dihurung seteru. Ia juga boleh menjadi salah satu teknik serangan yang hebat di medan media, yang akan membuatkan seteru tambah melenting jika tidak dilayan lalu menampakkan kelemahan mereka.

8. BAIKI NIAT, KAWAL NAFSU
Sentiasa betuli niat ketika bertempur di medan media. Syaitan akan sentiasa cari ruang untuk rosakkan amal kita walaupun pada awal, niat kita kerana Allah. Marah, iri hati, sangka buruk, berdendam, dan niat untuk mendapat pujian serta dilihat hebat akan mengganggu tujuan asal kita sebagai mujahid siber.

Provokasi adalah amalan wajib politik kotor. Jika tidak berhati-hati dan mengawal diri, mudah untuk kita mengikut apa yang seteru mahukan tanpa sedar.

9. LEBIHKAN LUARAN, KURANGKAN DALAMAN
Kadang-kadang ada beberapa perkara yang bersifat dalaman yang perlu diperbetulkan. Kurangkan mengguna medium terbuka untuk tujuan itu. Tumpukan media sebagai alat untuk memperbetulkan persepsi di luar parti.

10. UTAMAKAN KEBENARAN, JAUHI ASOBIYAH
Jangan sampai kerana ia parti kita dia ahli kita, dia pihak kita maka kita membelanya walaupun kita tahu mereka salah. Kita mesti berada di atas kebenaran sentiasa. Jika didapati pihak kita salah, tak perlu lagi membela tapi tidak bermakna kita perlu bertukar menyerangnya pula.

Nabi berkata, asobiyah itu adalah kamu membela saudaramu walaupun mereka yang zalim. Zalim di sini bukan sekadar menindas. Tapi apa jua perilaku yang bersalahan dengan syariat.

11. JADILAH PENYAMBUNG LIDAH PIMPINAN, BUKAN PENYAMBUNG LIDAH SYAITAN
Sentiasa perhatikan ucapan, kenyataan atau tulisan pimpinan. Sebarkan dan olah isi-isi dari mereka.

Bersikap responsif terhadapnya dengan cara memberi ulasan sokongan.

Jangan pula menyambut kata-kata dari pihak lain lebih dari pihak kita sendiri, walaupun ia bertujuan untuk menjawab atau menyerang kembali. Sikap itu hanya akan mempopularkan musuh dan menenggelamkan watak pimpinan.

Apatah lagi jika kita menyambut fitnah yang dilemparkan musuh. Secara tidak sedar, fitnah itu kita sebarkan. Mungkin niat kita mahu menjawab. Tapi dalam tak sedar kita sedang memperbesarkannya.

Jika ada keperluan untuk menjawab, kenal pasti dahulu sejauh mana berita itu berleluasa. Kawal sebaran jawapan supaya tidak menyebabkan yang tak tahu jadi tahu.

12. CIPTA ARUS SENDIRI, JANGAN TERPENGARUH PROVOKASI
Perlu sentiasa peka dengan muslihat musuh. Kadang-kadang mereka sengaja buat sesuatu supaya kita melenting atau menari mengikut paluan gendang mereka. Kita perlu bawa arus media yang tersendiri. Kadang-kadang mereka sengaja alih tajuk supaya kita tidak fokus kepada agenda asal.

Contohnya kejayaan membentang RUU355, cuba ditenggelamkan dengan dakwaan dana juta-juta. Pendedahan kaitan DAP dengan PAP, cuba dialihkan dengan isu tahi.

Belajar bagaimana media memainkan propaganda melalui kaedah framing, priming dan agenda setting.

13. PENYERU KE SYURGA BUKAN PENGHAMBAT KE NERAKA
Keberadaan kita adalah bagi menggalas tanggungjawab menyuntik kesedaran dalam masayarakat tentang kebenaran. Justeru tindakan kita mestilah memberi pulangan ke arah itu. Jangan bersikap terlalu responsif sehingga lupa tanggungjawab di atas.

Biarlah hasil tulisan kita bersifat mengajak ke arah kebenaran, bukan semata-mata menyerang sampai tak bagi peluang bernafas. Memang seronok bila menang hujah. Tapi lebih indah jika hujah kita boleh menginsafkan walaupun zahirnya tak menang.

Azam kita nak tarik seramai mungkin ke syurga. Hanya iblis yang berazam menghantar orang ke neraka.

14. TAMBAH ILMU, DALAMI AGAMA
Jangan merasa cukup dengan maklumat dan ilmu di dada. Sentiasa hadiri sesi penerangan, program, kuliah dan seumpamanya bagi memantapkan kefahaman tentang Islam, perjuangan dan isu semasa. Ia semua adalah peluru bagi seorang mujahid.

Ikat diri dengan jemaah sentiasa. Wajibkan seminggu sekali paling kurang, ada perjumpaan fizikal dengan ahli lain dalam apa jua program jemaah. Banyak berkatnya berhimpun sesama orang beriman, sefikrah dan sewadah.

15. TUMPUKAN SASARAN
Biar kita tahu kepada siapa kita mahu tujukan sebarang sebaran atau tulisan. Tersilap sasaran hanya akan merugikan peluru.

Pasaran PAS adalah orang Islam dan orang Melayu. Pastikan fakta, tahap dan bahasa kita boleh diterima oleh kebanyakan orang Islam dan Melayu.

16. SINGKIR EGO, BERANI MAAF
Andai sudah melakukan kesalahan terbuka, berani juga mengaku salah secara terbuka. Abaikan ego dalam diri. Tidak ada ruginya meminta maaf. Bahkan mungkin mampu menambat hati sesetengah orang. Ingat pepatah, orang sombong selalu rugi.- HARAKAHDAILY 19/4/2017