Muktamar: Siti Zailah, Mumtaz tumpu Kelantan

ANGGOTA Exco kerajaan Kelantan, Mumtaz Md Nawi menarik diri bertanding jawatan anggota Jawatankuasa (AJK) Muslimat PAS Pusat bagi menumpu perhatian menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Advertisement

Mumtaz Md NawiKatanya beliau mengambil keputusan itu kerana ingin menumpukan tugas di peringkat negeri dan persediaan menghadapi PRU14.

“Saya menarik diri daripada bertanding jawatan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat dan AJK PAS Pusat biar pun menerima pencalonan sebelum ini,” katanya di Kota Bharu.

Menurutnya tumpuan bagi mempertahankan kerajaan negeri pada PRU14 menjadi keutamaan sekarang.

Ini kerana kata beliau Kelantan berhadapan pelbagai serangan dari setiap sudut, menyebabkan perhatian khusus perlu diberikan.

Di samping itu ingin memberi laluan kepada orang lain yang turut bertanding untuk jawatan yang sama.

“Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih di atas pencalonan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya,” kata beliau.

Siti Zailah Md YusofBegitu juga anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof turut menarik diri bertanding jawatan peringkat pusat pada pemilihan kali ini.

Beliau sebelum ini dicalonkan bertanding jawatan Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

“Kak Lah menolak semua pencalonan itu untuk memberi fokus kepada negeri.

Terima kasih kepada kawasan yang sudi mencalon Kak Lah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/4/2017